MOSCOW: Ukraine melancarkan serangan ke atas ibu negara Rusia menggunakan lapan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau dron pada Selasa, namun kesemuanya ditembak jatuh, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia, lapor Sputnik.
Tiga daripada dron ini dipintas secara elektronik dan hilang kawalan lalu menyimpang dari sasaran, manakala lima lagi ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu dan senjata api antipesawat Pantsir-S.
Sementara itu, Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin berkata, beberapa bangunan turut mengalami kerosakan.
Beliau berkata, semua perkhidmatan kecemasan di bandar ini berada di lokasi kejadian dan setakat ini, belum ada laporan mengenai kecederaan parah.
Sementara itu, Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia (Rosaviatsiya) memaklumkan, lapangan terbang di Moscow dan Wilayah Moscow beroperasi seperti biasa.
“Setakat 8 pagi waktu Moscow [05:00 GMT] pada 30 Mei 2023, lapangan terbang Moscow dan Wilayah Moscow beroperasi seperti biasa. Semua perkhidmatan lapangan terbang dan pengawal trafik udara berfungsi tanpa kontingensi,” menurut agensi itu. – BERNAMA-SPUTNIK