SEMPORNA: Seorang wanita maut dipercayai akibat sesak nafas ketika melakukan aktiviti selam snorkel di kawasan tepi pantai di sebuah pusat peranginan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang itu, mangsa berusia 53 tahun dan berasal dari Selangor itu dilaporkan melakukan aktiviti selam snorkel bersama rakannya namun mengadu sukar bernafas.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dibawa naik ke dalam bot dan dibawa ke jeti selepas mengadu sesak nafas.
“Dia juga sempat diberikan bantuan pernafasan oleh kakitangan pusat peranginan di situ sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dipercayai serangan jantung oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan berkata, bedah siasat akan dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sekumpulan individu termasuk wanita yang dilihat cuba memberi bantuan kecemasan ke atas mangsa yang berkemungkinan tidak sedarkan diri.