CYBERJAYA: Seperti diketahui, perisian baharu dikenali ChatGPT yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) kini semakin mendapat sambutan meluas di seluruh negara.
Namun, sedarkah anda bahawa terdapat saingan baharu yang mencabar ChatGPT yang dibangunkan Google dengan sokongan Microsoft iaitu Bard.
Syarikat pemasaran global, Marketing Mentor menyatakan terdapat lapan jenis kelebihan yang dimiliki Bard berbanding ChatGPT.
“Pertama, ia sememangnya dalam carian di internet; Bard mempunyai akses internet dan ia sentiasa terhubung sepanjang masa.
“Bard turut melengkapi ‘voice note’ yang sekali gus memudahkan pengguna untuk berbicara kepada perisian itu tanpa perlu menulis sekali gus menjimatkan penggunaan masa.
“Menerusi Bard, pengguna juga boleh ‘export’’ teks yang dihasilkan secara klik dua kali. Malah, ia juga boleh digunakan secara terus ke dalam emel,” maklum Marketing Mentor menerusi perkongsian di Instagram rasminya.
Selain itu, perisian Bard turut memudahkan pengguna untuk membuat ringkasan bagi sesuatu perkara atau isu yang kompleks difahami.
Malah, Bard juga menyediakan tiga jenis jawapan bagi memberi pilihan kepada pengguna dalam mencari maklumat.
“Bard juga boleh memberi penjelasan berkaitan kod. Hanya perlu masukkan pautan dan tanyakan kepada Bard berkenaan fail berkenaan, ia akan menjelaskan proses fail tersebut berfungsi secara mudah.
“Pada masa sama, Bard turut memberi penyediaan carian sesuatu perkara yang dicari pengguna dengan lebih terperinci dan menariknya, perisian ini dapat menyediakan pelan percutian terbaik buat anda,” kongsinya.
Sebagai contoh, jika anda mahu bercuti ke Tokyo namun tidak tahu destinasi menarik untuk dikunjungi, Bard akan menyenaraikan destinasi-destinasi terbaik untuk dimasukkan dalam pelan percutian anda.