HomeBeritaGolongan B40 sedia manfaatkan IPR untuk tingkat taraf hidup, mohon lebih penjelasan

Golongan B40 sedia manfaatkan IPR untuk tingkat taraf hidup, mohon lebih penjelasan

MERSING: Golongan B40 bersedia memanfaatkan usaha Kerajaan Perpaduan membantu mereka menambah pendapatan keluarga melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) namun penjelasan mengenainya perlu diperbanyakkan kerana masih ramai tidak cakna.

Golongan B40 yang ditemui berpendapat mereka seharusnya memohon menyertai inisiatif berkenaan sama ada di bawah kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) atau Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) mengikut minat masing-masing.

Seorang petani Nizam Ali, 32, berkata, pelaksanaan program IPR itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan jurang pendapatan terutamanya bagi masyarakat luar bandar.

“Oleh itu, saya sarankan kepada semua yang berkelayakan ambil peluang ini sebagai alternatif untuk menambah pendapatan, lebih-lebih lagi dalam berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Pada masa sama, mungkin pihak berkaitan boleh turun padang untuk mencari dan memberi penerangan kepada golongan sasar, bagi membolehkan mereka membuat permohonan,” katanya kepada Bernama sambil menambah beliau mengetahui mengenai IPR menerusi rakannya.

IPR merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Ekonomi bagi membasmi golongan miskin tegar di negara ini dengan menyasarkan keupayaan peserta menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

Sementara itu, golongan B40 yang ditemui juga meminta kerajaan supaya meningkatkan usaha menjelaskan inisiatif berkenaan bagi memastikan maklumat mengenainya sampai kepada golongan sasar.

Seorang peniaga makanan, Sofia Saleh, 35, berkata, beliau ingin merebut peluang itu untuk menambah pendapatan dan akan mendapat maklumat lanjut mengenainya kerana setakat ini dia cuma mengetahui perkara tersebut melalui media sosial.

“Saya tidak tahu cara nak memohon memandangkan maklumat pun kurang. Setakat ini, tiada pula rakan-rakan peniaga kongsikan dekat laman sosial masing-masing sebab kebiasaannya kami saling bertukar maklumat.

“Bagaimanapun, saya akan cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif IPR ini dan merebut peluang keemasan untuk meningkatkan sumber pendapatan,” katanya.

Seorang aktivis belia Nor Azilahazah Ramlee, 30, berkata, masih ramai yang kurang jelas dengan kemudahan diberikan.

“Misalnya, IPR ini memfokuskan kebolehupayaan golongan berpendapatan rendah dalam meningkatkan potensi pendapatan, namun ada dalam kalangan mereka yang tak tahu mana nak tuju (untuk memohon).

“Justeru, kita berharap agar pemimpin setempat dapat bersama-sama kerajaan menguar-uarkan mengenai bantuan yang disediakan terutama kepada mereka yang terkesan pasca COVID-19,” katanya yang sering menyertai misi kemanusiaan termasuk banjir dan membantu masyarakat Orang Asli.

Pada 14 Jun lepas, dilaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan semua pegawai daerah di seluruh negara bagi membincangkan usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar di negara ini. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor