MAKKAH: Pelakon terkenal, Lisdawati yang kini berada di Tanah Suci tidak keberatan untuk berkongsi kembara kerohaniannya selepas terpilih menjadi antara 31,600 jemaah haji Malaysia tahun ini.
Ketika ditemui pemberita di sini, Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 45, menitiskan air mata kerana tidak menyangka terpilih menjadi dhuyufurrahman (tetamu Allah) bersama ibunya, Risda Chalidi, 67, bagi musim haji 1444 Hijrah.
Menyedari kekurangan diri dari segi ilmu agama, katanya beliau mendapatkan khidmat guru agama untuk menambah pengetahuan dalam usaha memperoleh haji mabrur (haji yang diterima Allah SWT) sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 22 Mei lepas.
“Saya faham sebagai hamba kita perlu kembali kepada Allah, sebagai pendosa saya mengharapkan pengampunan daripada Allah dan semoga mendapat haji mabrur,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, beliau juga banyak bertanya dengan kenalan yang pernah menunaikan haji bagi mendapatkan gambaran dan nasihat dalam menjalani ibadat itu.
Ditanya sekiranya akan meneruskan karier sebagai anak seni selepas ini, pelakon filem KL Menjerit itu berkata, beliau akan terus mencari rezeki dalam bidang itu kerana ia sumber pendapatannya dalam membantu keluarga.
Bagaimanapun, Lisdawati berkata beliau menetapkan syarat seperti menutup aurat dan menjaga batas sebagai seorang muslim dalam memilih watak. – BERNAMA