BANDARAYA KUWAIT: Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah dilantik semula sebagai Perdana Menteri Kuwait, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Kuwait (KUNA).
Pelantikan itu dibuat menerusi Dekri Diraja yang ditandatangani oleh Putera Mahkota Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.
Berikutan itu, Sheikh Ahmad Nawaf Al-Sabah bertanggungjawab untuk mencalonkan anggota Kabinet yang baharu dan menyerahkan nama mereka, menurut laporan itu.
Dekri itu yang dikeluarkan kira-kira seminggu selepas Emir Kuwait menerima peletakan jawatan kerajaan terdahulu dan dibuat seminggu sebelum persidangan Dewan Negara (parlimen) yang baharu dipilih pada 20 Jun.
Pada 6 Jun, pengundi Kuwait mengundi bagi memilih ahli Perhimpunan Kebangsaan ke-17. Seramai 50 Ahli Parlimen dipilih daripada 207 calon dalam badan perundangan baharu itu untuk tempoh empat tahun.
Parlimen Kuwait yang dikembalikan semula pada Mac berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai pembubaran sebelum ini telah dibubarkan melalui titah diraja pada Mei tahun ini.
Sejak beberapa tahun lalu, ketegangan antara Kabinet Kuwait dan parlimen sering mengakibatkan rombakan dan pembubaran parlimen.
Sheikh Ahmad Nawaf Al-Sabah dilahirkan pada tahun 1956 dan beliau merupakan anak sulung kepada Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.
Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan komander Pengawal Kebangsaan Kuwait antara November 2020 dan Mac 2022 dan kali pertama dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Julai 2022. – BERNAMA