MANILA: Lelaki yang didakwa sebagai pemimpin Daesh di Asia Tenggara terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina dan polis di selatan Filipina pada Rabu, menurut tentera.
Leftenan Jeneral Roy Galido, komander Markas Barat Angkatan Tentera Filipina (AFP) mengenal pasti pemimpin itu sebagai Faharudin Benito Hadji Satar atau Abu Zacharia, yang didakwa ketua Daesh di Asia Tenggara.
Galido berkata, sepasukan tentera dan polis membunuh Satar semasa serbuan di Marawi City di wilayah Lanao Del Sur kira-kira 1.30 pagi waktu tempatan pada Rabu. Pembantu Satar juga terbunuh dalam serbuan susulan di bandar yang sama, lapor Xinhua.
Mejar Andrew Linao, jurucakap markas itu berkata, Satar menentang penahanan dan bertempur dengan pasukan itu. Tentera menemukan dua senapang M16, dua bom tangan dan mortar M60 mm di tempat persembunyian Satar.
Menurut tentera, Satar adalah antara pemberontak yang mengetuai pengepungan Bandar Marawi pada 2017. Pertubuhan pengganas yang menyokong Daesh menduduki Bandar Marawi sejak Mei hingga Oktober 2017.
Pertempuran sengit selama lima bulan itu mengakibatkan lebih 1,200 maut, termasuk 168 anggota tentera dan pegawai polis serta 47 orang awam selain beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal dan kemusnahan bandar itu. – BERNAMA-XINHUA