CYBERJAYA: Tindakan seorang ibu membawa anak lelakinya ke balai polis disebabkan anaknya berkelakuan nakal di sekolah raih pujian warga net.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan kanak-kanak tersebut sedang menangis teresak-esak di dalam kereta yang diberhentikan di pekarangan sebuah balai polis.
Tujuan wanita itu adalah sebagai pengajaran kerana anaknya sering mengganggu rakan-rakannya di sekolah.
“Upah selalu kacau orang dekat sekolah, Ummi betul-betul bawa pergi balai. Ummi dah stres dah 100 kali minta maaf tak nak buat lagi, tengok esok kalau buat lagi kita hantar balik,” katanya.
Turut kelihatan dalam video tersebut, seorang pegawai polis yang datang menasihati kanak-kanak tersebut.
“Jadi budak baik, berdosa nanti masuk neraka. Tuhan marah,” ujar pegawai polis tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap wanita berkenaan untuk mengubah tingkah laku anaknya untuk menjadi orang yang lebih baik.
“Mantap la, moga anak sis ni jadi insan yang hebat satu hari nanti,” komen netizen.
“Bagus mak macam ini, bagi pengajaran kat anak supaya tau mana yang salah dan betul. Good job,” kongsi netizen.
“Aku kagum dengan ibu bapa yang macam ini. Macam-macam buat demi kebaikan anaknya,” tulis netizen.