HomeBeritaPolitikBohong besar tuduh saya tidak lupus hutang Felda - Muhyiddin

Bohong besar tuduh saya tidak lupus hutang Felda – Muhyiddin

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sebagai satu pembohongan besar.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, pelupusan hutang peneroka Felda yang dilaksanakan ketika beliau mengetuai Kerajaan Persekutuan pernah disahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari lalu di mana perkara itu dilaksanakan pada 2021.

Namun, katanya, memandangkan kekangan aliran tunai Felda, kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka itu secara berterusan.

“Susulan itu, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh juga membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion selesai dilaksanakan pada 2021.

“Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim. Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,” katanya seperti dilapor Utusan.

Semalam, Anwar sewaktu Hari Peneroka semalam mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

“Dan baru-baru ini, tiga tahun berdegar-degar, mereka bicara nak jaga orang Melayu, nak jaga Islam. Tetapi, hutang pun tak dilupuskan sehingga kita ambil alih baru-baru ini.

“Ya, memang diumumkan. Saya tengok fail, berapa keperluan, RM8.3 bilion. Mana kelulusan? Tidak ada. Tapi dah umum, saya check fail, kebetulan saya Menteri Kewangan, bila nak luluskan? Belum!,” kata Anwar.

Pada 2021, Muhyiddin ketika itu sebagai Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.

Authors

Pilihan Editor