HomeBeritaKami tak mahu kaya, hanya mahu 'survive' tanggung keluarga - Rakyat

Kami tak mahu kaya, hanya mahu ‘survive’ tanggung keluarga – Rakyat

BANGI: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kini sekali lagi memutuskan untuk bergabung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual diadakan pada 12 Ogos ini.

Langkah itu diambil selepas melihat perkembangan positif dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak lapan bulan lalu.

Walaubagaimanapun, setiap kerajaan ditubuhkan tidak lari daripada masalah terutamanya isu ekonomi dan kenaikan harga barang, yang sering kali dilihat seolah-olah menghantui hidup rakyat.

Tidak kira mana-mana parti yang menerajui negara, masalah dan pandangan dikemuka rakyat perlu menjadi keutamaan meskipun selepas memenangi pilihan raya.

Lantaran itu, MEDIA VARIASI mengambil peluang untuk melakukan tinjauan di sekitar Laman Niaga, di sini pada baru-baru ini.

Ahmad

Menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, rakyat khususnya golongan marhaen memerlukan bantuan secara menyeluruh daripada kerajaan.

Ahmad berkata, perkara itu termasuk bantuan kepada industri kecil sederhana (IKS), pertanian dan keperluan asas.

Katanya, keupayaan BN dan PH yang masing-masing mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negara boleh digabungkan bagi menjadikan Malaysia lebih baik.

“Selalunya kita dimaklumkan mengenai jawatan-jawatan bagi orang atasan. Tapi sekarang ini rakyat hanya nak dengar perkara yang memberi faedah kepada rakyat.

“Tunjukkan pembaharuan kepada rakyat supaya mereka yakin janji-janji yang dibuat kerajaan ditepati.

“Wujudkan juga satu peluang untuk rakyat bawahan supaya mereka boleh ‘survive‘. Mereka bukan nak kaya tapi sekurang-kurangnya boleh ‘survive‘ untuk tanggung keluarga,” katanya.

Zila

Seorang lagi peniaga yang hanya dikenali sebagai Zila, secara jujurnya mengaku bahawa, kehidupan sebagai rakyat golongan sederhana ketika ini agak sukar.

Zila, 38, berkata, menteri yang bertanggungjawab sememangnya mempunyai target masing-masing untuk menaikkan semula pembangunan ekonomi dan mata wang.

“Target bagus tapi sebab nak naikkan OPR (kadar dasar semalaman) dan mata wang menyebabkan rakyat bawahan jadi menderita.

“Sebagai peniaga, saya terkesan sebab harga barang-barang setiap minggu naik. Walaupun barang tu naik sen-sen sahaja tapi bagi saya agak ‘sakit’.

“Kalau boleh, kerajaan yang ada sekarang ini perlu menambah inisiatif untuk bantu rakyat dan mengutamakan golongan bawahan,” tambahnya.

Mohamad Nuh

Sementara itu, seorang pekerja swasta berkata, situasi naik turun ekonomi sekarang ini juga mengakibatkan keadaan hidupnya tidak menentu.

Apatah lagi, Mohamad Nuh, 21, mengakui bahawa dia hanya makan sebanyak sehari sekali, yang mana ini sudah cukup membuktikan bahawa rakyat di negara ini memerlukan bantuan berterusan daripada kerajaan.

“Pendapat saya bagus gabungan BN dan PH. Kita bagi peluang kepada mereka disebabkan baru lagi memerintah.

“Cuma sekarang ini saya minta supaya minta stabilkan ekonomi dan kewangan supaya rakyat tidak rasa terbeban,” katanya.

MASALAH EKONOMI ISU GLOBAL

Johari

Turut memberi pandangan, Johari Osman berkata, orang ramai perlu menyedari bahawa masalah ekonomi bukan hanya melibatkan negara ini sebaliknya ia melibatkan isu global.

Justeru, beliau yang juga Pegawai Operasi Rahmah itu berpendapat bahawa, setiap kerajaan akan berdepan masalah untuk mengendali ekonomi negara, manakala kini adalah masa terbaik untuk Kerajaan Perpaduan membuktikan bahawa mereka mampu untuk mengatasi isu berkenaan.

“Saya lihat Perdana Menteri menguruskan negara dengan lebih teliti dan lebih berhati-hati. Walaupun mata wang jatuh tapi bukan menyebabkan negara kita jadi muflis atau ekonomi merosot.

“Saya juga memuji pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) kerana pihak mereka sangat menjaga kenaikan harga barang,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama BN-PH pada PRN akan datang, Johari menyifatkan langkah tersebut mampu menyatukan parti-parti yang sebelum ini berpecah.

“Apabila mereka bersatu dalam Kerajaan Perpaduan, masing-masing mungkin akan berhati-hati dan curiga.

“Namun, disebabkan mereka mempunyai matlamat sama untuk bangunkan Malaysia menjadi lebih baik, maka saya rasa ia tak jadi masalah. Saya harap gabungan ini boleh kekal untuk lima tahun akan datang,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor