TAWAU: Hanya jambu dan air sungai yang menjadi pengalas perut selama dua minggu, sebelum seorang lelaki termasuk seorang kanak-kanak yang hilang di kawasan Ladang Usahawan Borneo Burmas berjaya diselamatkan semalam.
Mangsa Iwan Musakir, 33, dan Al Fajriada, 11, ditemui oleh orang awam pada pukul 9 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya dimaklumkan kedua-dua mangsa ditemui oleh orang awam ketika pasukan penyelamat hendak memulakan operasi SAR.
“Seterusnya mangsa dihantar ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) berjumpa dengan ahli keluarganya.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa bagi memastikan mangsa dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
Jemishin berkata, hasil maklumat daripada pihak polis jarak dari mangsa dipercayai masuk hutan ke tempat mangsa ditemui 7.5 kilometer.
“Mangsa dikatakan dapat mampu meneruskan hidup dengan minum air sungai dan memakan jambu di tepi sungai.
“Mangsa mengatakan mereka terdengar suara pasukan penyelamat dari tepi ladang lalu keluar dari hutan sebelum ditemui oleh orang kampung,” katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari semalam.
Terdahulu, Iwan dan Al Fajri keluar berburu secara berkumpulan seramai lapan orang di hutan berhampiran ladang berkenaan pada 24 Jun lalu.
Bagaimanapun, mereka berpecah dalam beberapa kumpulan ketika berada di dalam hutan, sebelum mangsa disedari hilang.
Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh rakannya, namun masih belum ditemukan sebelum laporan dibuat pada 29 Jun lalu.