CYBERJAYA: Pelakon jelita, Uqasha Senrose akui sudah lali dengan lemparan komen ‘jahat’ seorang wanita terhadapnya mengenai isu zuriat.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, berkata, dia amat terkilan dengan kata-kata wanita terbabit kerana seharusnya seorang wanita itu lebih memahami perasaan wanita lain, terutama isu anak yang sensitif bagi segelintir orang.
“Saya cuba abaikan sindiran yang mengaitkan isu anak kerana semuanya berbalik kepada rezeki Allah, siapa kita nak mempertikaikan kuasaNya.
“Lagipun sebenarnya banyak lagi dugaan besar lain pernah kami hadapi berbanding kata-kata pedih seorang wanita menerusi komennya.
“Cuma terkilan sebab komen tersebut dilemparkan kaum Hawa iaitu seorang wanita seperti saya,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.
Isteri kepada pelakon Kamal Adli itu turut menyatakan pengalamannya keguguran dalam tempoh hampir dua tahun mendirikan rumah tangga membuktikan mereka mampu mempunyai anak.
Namun katanya, tidak perlu untuk dia dan pasangan berkongsi tentang ikhtiar mereka untuk mendapatkan cahaya mata kepada umum.
“Saya enggan memikirkan pendapat orang lain berhubung isu ini, malah jika kami berusaha dan berikhtiar pun takkan kami kena hebahkan.
“Apa pun doakan saja kami dikurniakan rezeki cahaya mata, begitu juga dengan wanita lain yang menunggu berita gembira itu,” ujarnya.
Sebelum ini, Uqasha diserang segelintir netizen di Instagram miliknya dengan kata-kata tajam berkenaan isu belum dikurniakan anak selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.
Uqasha membalas sindiran seorang netizen dalam ruangan komen Instagram yang kononnya kasihan melihat dirinya dan dua adiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose masih belum dikurniakan anak.
Bukan tidak pernah hamil, Uqasha sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali itu pada awal tahun 2022 dan November 2022.
Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal Adli pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.