HomeBeritaPolitikBN bakal kemuka lebih ramai calon baharu pada PRN

BN bakal kemuka lebih ramai calon baharu pada PRN

 

BANGI: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan lebih ramai calon muka baharu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda semangat parti itu mengadakan kerjasama buat pertama kalinya dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya tersebut.

“Apa yang penting pada 12 Ogos depan, kita akan membuktikan manifesto kita di enam negeri dan untuk BN, Insya-Allah kita akan kemukakan calon-calon muka baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Laman Niaga Komuniti, di sini pada Jumaat.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, beliau mengambil maklum keputusan dua parti komponen BN, MCA dan MIC yang berhasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya itu.

Namun, katanya, beliau tetap menghormati keputusan tersebut.

“Saya juga hormat kepimpinan parti itu yang akan tetap bersama BN dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan di enam negeri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN serentak di enam negeri pada 12 ogos ini.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Author

Pilihan Editor