CYBERJAYA: Setelah 50 tahun berkecimpung dalam dunia seni, akhirnya seniwati, Datuk Fauziah Nawi menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk semalam.
Menurut Fauziah, 70, dia sendiri terkejut dan tidak menyangka akan penghargaan tersebut.
“Sejujurnya saya sememangnya terkejut dan tidak mengharapkan apa-apa tapi sangat bersyukur apabila penghargaan ini diberikan ketika saya masih bernyawa.
“Saya juga bersyukur kerana banyak pihak membantu saya semasa perjalanan karier saya sehingga di mana saya ada sekarang.
“Cuma saya sedih kerana ketika saya dapat penghargaan ini… mak bapa saya tak ada. suami tak ada anak lelaki saya pun tiada meninggalkan saya tak dapat menyaksikan,” katanya seperti dilapor Gempak.
Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Ibu ditemui di Gempak ketika Konsert FYP MeleTop yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam pada Selasa.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Izham Ismail pada hari yang sama.
Dua tokoh itu mendahului senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 pada istiadat pengurniaan di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Pun begitu, Fauziah memberitahu pengiktirafan yang diterima itu sangat bermakna buat diri dan kerjayanya selama ini.
“Saya tidak pernah mendapat anugerah pelakon terbaik, jadi pengiktirafan ini memberikan erti dan makna yang cukup indah buat saya.
“Apa yang pasti, ini adalah tanggungjawab besar untuk saya terus memberikan yang terbaik pada masa akan datang,” ujarnya.
Fauziah merupakan seorang yang ceburkan dir dalam bidang juruhebah radio, pengarah, pelakon, penyanyi dan penari Malaysia. Beliau juga berkhidmat sebagai tenaga pengajar Akademi Fantasia Musim keempat (2006) dan keenam (2008).