HomeBeritaPolitik'Kalau undi diri sendiri pun kalah, lebih baik Mukhriz undi PN' -...

‘Kalau undi diri sendiri pun kalah, lebih baik Mukhriz undi PN’ – Sanusi

CYBERJAYA: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyarankan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal memberi sokongan kepada PN tidak kira sama ada parti itu diterima atau tidak untuk menyertai gabungan pakatan.

Katanya, perkara itu bertujuan mengelak Mukhriz serta PEJUANG berdepan kerugian sekiranya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Keputusan diterima atau tidak (menyertai) PN, itu saya tak nak jawab kerana ia di bawah Majlis Presiden PN… saya suruh dia sokong PN ja, undi PN.

“Kalau dia undi diri sendiri pun kalah juga, (jadi) untuk mengelak kerugian itu (sokonglah PN) jangan bagi rugilah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Operasi Kepada 237 Institusi Pendidikan Agama di Sungai Petani, pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Mukhriz berharap pimpinan PN dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk parti itu bekerjasama dengan gabungan terbabit pada PRN nanti.

Mukhriz berkata, parti itu tidak mahu dilihat sebagai faktor ‘pengacau’ yang memecah belahkan undi Melayu dalam PRN kerana penyatuan undi Melayu adalah satu cara terbaik dalam mendepani gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah memaklumkan bahawa senarai calon PN bagi menghadapi PRN di enam negeri dijangka diumumkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai ini.

“Saya ingat dua tiga hari sebelum 29 Julai itu akan umum senarai calon (PN),” ujarnya.

Author

Pilihan Editor