HomeBeritaKekecohan di KLIA: 22 orang saksi diambil keterangan

Kekecohan di KLIA: 22 orang saksi diambil keterangan

SHAH ALAM: Seramai 22 orang saksi dirakam keterangan berkaitan satu insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada 22 saksi tersebut, empat orang adalah pengadu, manakala yang lain adalah 12 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pegawai Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebanyak empat orang serta dua pekerja syarikat agensi pelancongan.

“Setakat ini, sebanyak empat laporan polis yang telah diterima pihak polis Selangor.
“Kesemua aduan tersebut dibuat oleh orang awam membabitkan kejadian ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya lagi, Kertas Enkuiri Polis (KEP) berhubung kejadian tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa bagi mendapatkan pandangan perundangan dan keputusan.

Jelas beliau, berdasarkan KEP, polis mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.

Pada Khamis, media melaporkan berita tular di media sosial mengenai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan pihak JIM.

Bagaimanapun King Sing menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melepaskan pelawat tersebut.

Menerusi kenyataan media, beliau mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai JIM yang bertugas.

Selain itu, beliau turut mendakwa kehadirannya ke KLIA bertujuan membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara.

 

Authors

Pilihan Editor