HomeSukanKL City FC kecewa, kecam keganasan terhadap penyokong

KL City FC kecewa, kecam keganasan terhadap penyokong

KUALA LUMPUR (KL) City FC meluahkan rasa dukacita dan kecewa terhadap insiden yang menimpa penyokong mereka semasa perlawanan akhir Piala FA menentang penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi mereka, KL City FC menyuarakan simpati mereka terhadap penyokong dan ahli keluarga mereka yang terkesan akibat insiden yang tidak diingini itu yang melibatkan anggota keselamatan di stadium.

“Kami mengecam sebarang bentuk keganasan tidak kira sama ada melibatkan penyokong kami mahupun pihak lain. Penggunaan kekerasan sama ada di dalam mahupun luar stadium membayangi pertembungan sengit di atas padang dan tidak seharusnya mendapat tempat di dalam dunia sukan,” kata kelab Lembah Klang itu pada Selasa.

KL City juga bersedia memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu siasatan insiden berkenaan.

“Kami menggesa mana-mana saksi dengan bukti kejadian ini agar menghubungi kami supaya keadilan dapat diperolehi untuk mangsa.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan para penyokong yang turut menjadi saksi untuk mendapatkan perspektif berhubung kejadian ini. Kami hargai kerjasama anda dan turut yakin pihak PDRM akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

KL City turut menegaskan kelab tersebut mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap sebarang penggunaan kekerasan dalam kawal selia penonton.

“Kami juga menyeru agar pihak berkenaan untuk menitikberatkan hal-hal membabitkan keselamatan serta mempertimbangkan keperluan penambahbaikkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa depan.

“Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan persekitaran selesa di mana penyokong datang ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka, menikmati perlawanan dan bebas daripada sebarang ancaman pembuat kacau,” katanya.

Pada masa sama KL City juga berharap satu tindakan secara kolektif diambil supaya insiden sama tidak berulang lagi pada masa depan.

“Atas dasar ketelusan dan akauntabiliti, kami memohon pihak berkuasa untuk membuat perkongsian umum mengenai sebarang penemuan atau kemas kini daripada siasatan mereka pada perlawanan akhir Piala FA tempoh hari.

“Fokus utama kami kini tertumpu terhadap membantu individu-individu yang terkesan. Marilah kita bersama-sama mengetengahkan suasana bola sepak yang aman dan sejahtera bagi semua,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor