HomeGlobalMenteri Kehakiman New Zealand letak jawatan selepas kemalangan memandu mabuk

Menteri Kehakiman New Zealand letak jawatan selepas kemalangan memandu mabuk

 

MENTERI Kehakiman New Zealand meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, selepas gagal ujian nafas alkohol berikutan kemalangan kereta.

Kiri Allan, 39, didakwa memandu cuai dan melawan ketika ditahan.

Beliau adalah menteri keempat daripada Kabinet Perdana Menteri Chris Hipkins yang melepaskan jawatan sejak Mac, menjelang pilihan raya pada Oktober.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam nahas itu, yang berlaku di Wellington pada malam Ahad waktu tempatan.

Susulan penahanannya, bekas menteri itu ditahan di balai polis selama empat jam sebelum dibebaskan. Dia dijadual hadir di mahkamah nanti.

Allan, yang dikatakan oleh Hipkins mengalami “kesusahan emosi yang melampau”, akan kekal sebagai ahli parlimen buat masa ini.

“Beliau faham bahawa dia tidak boleh mengekalkan kedudukannya sebagai menteri, terutamanya bagi seorang menteri kehakiman yang didakwa atas kesalahan jenayah,” kata perdana menteri dalam sidang media.

Allan, yang juga Menteri Pembangunan Wilayah, Pemuliharaan dan Pengurusan Kecemasan, baru-baru ini mengambil cuti kerana “masalah peribadi”, hanya kembali bekerja pada Isnin lalu.

Dia mengesahkan perpisahannya dengan pasangannya bulan lalu dan juga menghadapi dakwaan hubungan kerja yang buruk dengan kakitangannya.

Dalam satu kenyataan, Allan berkata, dia telah kembali ke parlimen kerana percaya dia boleh mengimbangi masalah peribadi dengan tugasnya.

“Tindakan saya semalam menunjukkan saya tidak sihat,” katanya sambil menambah akan mempertimbangkan masa depannya dalam politik.

Allan pernah dilihat sebagai kesayangan parti Buruh. Dia juga dikhabarkan akan menggantikan bekas perdana menteri, Jacinda Arden, yang melepaskan jawatannya awal tahun ini sebelum Hipkins mengambil alih.

Peletakan jawatannya adalah perkembangan terbaru dalam apa yang diakui oleh Hipkins sebagai masa yang “kalut” dalam partinya sendiri.

Menteri Pengangkutan dan Imigresen, Michael Wood meletak jawatan pada Jun kerana kegagalannya mendedahkan kemungkinan konflik kepentingan dalam pemilikan saham. Sebulan sebelum itu, menteri kastam, Meka Whaitiri bertukar pihak untuk menyertai parti lain.

Empat bulan lalu, menteri polis, Stuart Nash pada Mac juga dipecat selepas didedahkan dia memberi maklumat sulit kepada penderma.

Tinjauan pendapat April meramalkan persaingan sengit dalam pilihan raya akan datang antara parti Buruh berhaluan tengah dan pembangkang utamanya parti Nasional. – BBC News

Author

Pilihan Editor