HomeGlobalPasar raya Qatar boikot barangan Sweden

Pasar raya Qatar boikot barangan Sweden

 

DOHA: Rangkaian pasar raya terkemuka di Qatar mengeluarkan semua produk keluaran Sweden daripada raknya sebagai tindak balas terhadap insiden membakar kitab suci al-Quran di Stockholm.

Pasar raya Souq Al Baladi mengambil langkah itu selepas tiada usaha kukuh diambil pihak berkuasa Sweden dalam menangani serangan ke atas al-Quran, lapor portal Dohanews.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Souq Al Baladi, tindakan boikot ke atas semua barangan Sweden itu akan diteruskan sehingga diberitahu kelak.

Sweden sebelum ini menegaskan ia menjustifikasikan aksi mencemarkan al-Quran atas alasan kebebasan bersuara.

Untuk rekod, pada bulan lalu, pendatang Iraq, Salwan Momika membakar al-Quran di hadapan masjid utama Stockholm.

Salwan sekali lagi bertindak agresif terhadap kitab suci al-Quran dengan memijak dan menendang salinan kitab itu semasa protes di hadapan Kedutaan Iraq pada Khamis lalu.

Kerajaan Sweden mengutuk pembakaran al-Quran sebagai tindakan Islamofobia tetapi mengiktiraf hak yang dilindungi perlembagaan untuk kebebasan berhimpun, bersuara dan demonstrasi di negara itu.

Di ibu negara Denmark pula, dua lelaki mendakwa ahli kumpulan Patriot Denmark membakar dua salinan al-Quran di hadapan Kedutaan Iraq di Copanhagen.

Tahun lalu, beberapa negara Arab bertindak memboikot barangan India susulan tindakan dua anggota kanan parti memerintah Bharatiya Janata (BJP) meniup sentimen Islamofobia dan menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Author

Pilihan Editor