HomeBeritaPemandu lori maut nahas enam kenderaan di Pontian

Pemandu lori maut nahas enam kenderaan di Pontian

PONTIAN: Seorang maut dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer (KM) 45.5 Jalan Johor Bahru – Batu Pahat, Johor pada Selasa.

Enam buah kenderaan tersebut membabitkan tiga lori, dua kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam perjalanan dari Pekan Nenas menghala ke Pontian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, Kaunter Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian menerima laporan orang awam berhubung nahas tersebut kira-kira jam 2.10 petang.

Beliau berkata, permukaan jalan raya di lokasi basah disebabkan hujan dalam kejadian kira-kira 1.50 petang.

“Ketika lampu isyarat merah di persimpangan jalan (Sinar Harapan), sebuah lori dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar sebuah lagi lori di laluan sama.

“Akibat daripada itu, lori yang dilanggar telah menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar belakang sebuah lagi lori.

“Ini seterusnya mengakibatkan kenderaan lain terlibat dilanggar dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam nahas tersebut. – Foto: PDRM

Mohammad Shofee berkata, hasil siasatan mendapati, lori kedua yang dilanggar telah tersepit antara kedua-dua lori terlibat.

Katanya, pihak bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kejadian tersebut.

“Akibat daripada itu, pemandu lori warga tempatan berusia lingkungan 27 tahun cedera di dada dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempatan kejadian oleh Pegawai Perubatan.

“Sementara itu, kelindan lori turut cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan, manakala lain-lain pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,”maklumnya.

Keadaan remuk di belakang sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan itu. -Foto: PDRMTambah beliau, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 54 tahun ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

“Saksi kejadian diminta tampil memberi keterangan dan boleh hubungi Inspektor Nurhisyam Syafik menerusi talian 013-9825324,” katanya.

Author

Pilihan Editor