HomeBeritaPolitikSanusi nafi gagal dihubungi polis

Sanusi nafi gagal dihubungi polis

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan beliau tidak dapat dihubungi oleh pihak polis sebelum tangkapan dibuat awal pagi semalam.

Dakwanya, beliau tidak menjawab panggilan dari pihak polis kerana berada dalam tiga mesyuarat berasingan.

Namun, beliau mendakwa, ada berhubung menerusi aplikasi Whatsapp dengan pegawai polis yang meminta beliau hadir bagi dirakam keterangan di Balai Polis Hartamas atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Saya telah maklumkan kepada pihak polis bahawa saya tidak bersedia untuk dirakam keterangan pada malam itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya selepas dihadapkan Mahkamah Sesyen Selayang pada masa yang ditetapkan.

“Komunikasi terakhir saya bersama pegawai polis itu adalah sekitar tengah malam, sebelum pintu bilik diketuk jam 2.30 pagi. Saya kemudiannya telah dibawa ke balai polis dan diambil keterangan sebelum didakwa di mahkamah”, katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hadir pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1445H di sini, hari ini.

Sanusi menjelaskan, beliau telah menghantar tangkap layar perbualan itu kepada seorang pegawai kanan polis bagi memperbetulkan kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Tidak benar apabila dikatakan saya tidak memberikan kerjasama. Saya maklumkan di sini (kepada media) kerana masih belum ada pembetulan dari pihak KPN setakat ini”, maklumnya.

Semalam, Razarudin menjelaskan penahanan Sanusi pada jam 3 pagi dibuat selepas Menteri Besar Kedah itu tidak menjawab panggilan telefon daripada polis sejak petang untuk dimaklumkan mengenai pertuduhan ke atasnya.

Selain gagal dihubungi, Sanusi turut gagal dikesan Polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu untuk membantu proses rakaman percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan.

Untuk rekod, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan membuat kenyataan menghasut dan berkecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja, pada Selasa.

Dua pertuduhan menghasut itu adalah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, 11 Julai lalu.

Author

Pilihan Editor