HomeMV+PendapatKuasa tular dan manusia masa kini

Kuasa tular dan manusia masa kini

PEPATAH dahulu menyatakan, mata pena lebih tajam dari mata pedang. Namun, pepatah ini seharusnya ditukar menjadi ‘kuasa tular lebih tajam dari mata pena’.

Kemajuan teknologi ditambah pula dengan kemampuan masyarakat zaman kini memiliki telefon pintar dan kebolehan mereka merakam serta menularkan sesuatu kejadian di media sosial menyemarakkan lagi aktiviti viral.

Apa sahaja isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang dirasakan tidak akan mendapat perhatian atau lambat untuk mendapat keadilan, pasti ditularkan bagi menarik perhatian sebilangan pihak sama ada kerajaan, pembangkang, NGO mahupun individu perseorangan untuk menghulurkan bantuan.

Boleh dikatakan bahawa kuasa tular berupaya membuka jalan penyelesaian yang pantas kerana pelaku sesuatu peristiwa akan tertangkap dengan bukti seperti rakaman gambar, video dan audio.

Bagaimanapun, kuasa viral ini turut berupaya mewujudkan satu situasi yang menakutkan sehingga mengakibatkan privasi seseorang ‘terkubur’.

Malah, kesalahan kecil yang dilakukan tanpa sengaja juga berupaya menjadi bahan untuk ditularkan.

Jika betul perbuatan yang ditularkan itu adalah negatif dan dilakukan dengan sengaja, sewajarnya si pelaku mendapat hukuman yang setimpal.

Namun, bagaimana pula nasib mereka yang tanpa sengaja melakukan kesalahan sehingga tular di media sosial oleh individu yang tidak bertanggungjawab?

Kuasa tular & Filem Vikruthi 

Bercerita tentang isu ini, sebuah filem kisah benar Malayam bertajuk Vikruthi memberikan jawapan kepada persoalan menularkan perbuatan yang tidak benar dan bagaimana individu yang tidak bersalah menjadi mangsa kepada dunia teknologi ini. Kesan yang timbul bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi kepada seluruh ahli keluarga.
Dalam filem tersebut, seorang lelaki bergelar suami dan bapa yang bertanggungjawab tetapi pekak dan bisu, telah tertidur dalam keadaan yang sangat letih dalam sebuah tren metro selepas seharian menjaga anak perempuanya di hospital. Oleh sebab lelaki terbabit pekak, segala cemuhan dan kata-kata orang sekelilingnya tidak didengar oleh beliau.

Seorang individu yang kurang bertanggungjawab telah merakam peristiwa berkenaan dan menularkan isu ini untuk mendapat view dan like. Apa yang menjadikan isu ini lebih buruk ialah individu yang merakam dan tularkan peristiwa itu menyatakan bahawa lelaki bisu berkenaan mabuk dan kerana itu tidur tanpa sedarkan diri di dalam kenderaan awam.

Rakaman itu tular sehingga lelaki pekak dan bisu berkenaan hampir kehilangan kerja dan anaknya mengalami tekanan perasaan yang teruk kerana dibuli oleh rakan-rakan yang lain kerana menganggap bapanya pemabuk dan melakukan perbuatan yang memalukan.

Walaupun perakam video itu telah dikesan dan permohonan maaf telah dibuat, namun kesan emosi yang dialami oleh keluarga mangsa masih kekal.

Kehidupan tidak boleh menjadi seperti sedia kala bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Filem ini merupakan sebuah karya yang sangat menarik dengan pengisian nasihat kepada netizen. Setiap pelayar media sosial harus menonton filem Vikruthi untuk melihat dan belajar mengenai kesan buruk apabila sesuatu perkara yang tidak betul ditularkan.

Berbalik kepada perbuatan tular dan situasi di Malaysia, harus diingatkan tindakan tular tanpa sebarang siasatan bukan sahaja boleh menyebabkan kehidupan seseorang menjadi huru hara, malah mendatangkan pelbagai masalah lain termasuk masalah perkauman, stereotaip, prejudis dan sebagainya.

Sebagai seorang pengguna media sosial yang beretika, fikir dan siasat dahulu segala yang dilihat dan dirakam sebelum disiarkan pada media sosial.

Jangan sebab hendakkan view dan like, masa depan orang lain kita hancurkan.
Fikir dahulu sebelum buat.

Oleh: DR RANI ANN BALARAMAN
Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)

Author

Pilihan Editor