HomeBeritaSalahuddin Ayub ditidurkan selepas selamat jalani pembedahan

Salahuddin Ayub ditidurkan selepas selamat jalani pembedahan

ALOR SETAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub kini ditidurkan selepas selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar serta Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menziarahi Salahuddin di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk mengetahui perkembangan kesihatannya.

Saifuddin berkata, beliau turut diberi taklimat ringkas oleh doktor pakar pembedahan bersama dua doktor yang akan memantau keadaannya dari semasa ke semasa.

“Pembedahan yang dilakukan awal pagi tadi berjaya dilakukan dan keadaan Salahuddin kini stabil.

“Beliau diletakkan di bawah pengawasan rapi di ICU dan akan diawasi dengan cermat oleh kedua-dua doktor pakar berkenaan,” katanya ketika ditemui di lobi HSB selepas menziarahi Salahuddin, hari ini.

Saifuddin berkata, bagi pihak rakan-rakan khususnya anggota jemaah Menteri sudah dimaklumkan mengenai keadaan beliau (Salahuddin) melalui kumpulan WhatsApp oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

“Kebetulan saya berada di Kedah hari ini, saya mengambil peluang ini untuk melawat Salahuddin dan bertemu dengan isteri beliau, Datin Seri Fatimah Taha serta anak-anaknya di sini.

“Saya berharap keluarganya bersabar dengan apa yang berlaku dan terus mendoakan supaya Salahuddin kembali sihat semula,” katanya.

Saifuddin berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara ini dan beliau turut menyampaikan Salam kepada keluarga Salahuddin.

Beliau berkata, keluarga beliau (Salahuddin) perlu diberi ruang untuk menghadapi perkara ini dan pihaknya akan mendapatkan perkembangan susulan berhubung keadaan terkini Salahuddin dari masa ke semasa.

“Dia diberi sokongan dan diletakkan di bawah pengawasan dan doktor memaklumkan keadaan tekanan darah, oksigennya menunjukkan keadaan terkawal tetapi stabil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Salahuddin Ayub disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan menjalani pembedahan di HSB, di sini.

Terdahulu, beliau dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada sekitar jam 10.15 malam tadi, dan mendapat rawatan selepas mengalami mual dan muntah-muntah. – BERITA HARIAN

Authors

Pilihan Editor