HomeHiburan'Saya maafkan dia'- Shuib semuka 'pemfitnah' tuduh bunuh Siti Sarah

‘Saya maafkan dia’- Shuib semuka ‘pemfitnah’ tuduh bunuh Siti Sarah

KUALA LUMPUR: Pertemuan empat mata antara penyampai radio Suria FM, Shuib dengan penyebar fitnah, Zulhairi Abu Othman, 35, berakhir dengan baik selepas Shuib terbuka hati untuk memaafkan individu terbabit.

Shuib atau Shahmira Muhamad, 39, mengingatkan Zulhairi supaya tidak lagi menyebarkan fitnah tentang dirinya dan keluarga.

“Saya maafkan dia. Saya tahu dia seorang yang beradab kerana berani datang hari ini. Mungkin silap kerana berkongsi di media sosial sebelum ini,” katanya.

Pertemuan itu berlangsung di kafe Bubblee Bee, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa.

Malah, Shuib turut memohon maaf sekiranya pertemuan ini bakal mengundang masalah lain buat Zulhairi.

Dalam pada itu, Shuib memberitahu dia sedang mengesan seorang lagi pengguna media sosial bernama John Dihani kerana telah menyebarkan fitnah tentang kematian isterinya itu.

Shuib menegaskan dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan sebagai pengajaran agar perkara sama tidak berulang lagi.

“Biarlah peguam saya yang pergi berjumpa dia dulu. Saya dah bincang perkara ini boleh ambil tindakan dan saya akan saman sebagai satu bentuk pengajaran.

“Perkara ini nampak mudah tetapi ia melibatkan kematian isteri saya. Tuduhan itu seolah-olah saya membunuh isteri sendiri. Kalau betul sila bersemuka dengan bukti.

“Saya tegas dengan pendirian ini sebab saya tahu apa yang dikatakan semua tak betul,” ujarnya.

Isnin lalu, Shuib berkongsi dua paparan pengguna media sosial yang menyebarkan fitnah kononnya dia terlibat dengan dengan ikutan Freemason.

Untuk rekod Siti Sarah meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM (HCTMUKM) pada 9 Ogos 2021.

Author

Pilihan Editor