HomeBeritaSPR mesyuarat 3 Ogos tentukan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

SPR mesyuarat 3 Ogos tentukan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Ogos bagi menentukan tarikh-tarikh penting berhubung Pilihan Raya Kecil penting (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen berkenaan.

Menurutnya, SPR turut menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (5) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, di mana tarikh-tarikh penting PRK.

“Ini seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut.

Pada masa sama, SPR menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub atas kembalinya ke rahmatullah pada 23 Julai lalu.

Untuk rekod, Allahyarham Salahuddin merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup disahkan meninggal dunia pada 9.23 malam pada usia 61 tahun akibat pendarahan otak.

Author

Pilihan Editor