CYBERJAYA: Silibus mata pelajaran di sekolah rendah disifatkan ‘mengarut’ dan sukar difahami murid-murid masa kini.
Malah, ada juga sebilangan silibus yang menyusahkan ibu bapa sehingga terpaksa mengeluarkan kos belanja yang tinggi.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita, Husna Adnan yang meluahkan rasa hampa akan silibus mata pelajaran sekolah rendah di negara ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Husna menyifatkan silibus mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) adalah antara subjek yang memeningkan kepala ibu bapa.
“Silibus matapelajaran anak-anak sekolah rendah bukan sahaja semakin mengarut untuk difahami dan dihadam anak-anak murid malah turut menyebabkan poket ibu ayah rabak dengan kos beli bahan untuk subjet PSV.
“KIta dahulu tak ada pula buat benda yang pelik-pelik dan libatkan kos mahal. Ini baru satu projek seminggu. Sebulan?,” soalnya.
Dalam pada itu, Husna turut memuat naik sekeping foto memaparkan hasil karya anaknya bagi subjek PSV yang menggunakan pelbagai bahan demi sebuah projek kecil.
“Antara projek yang buat diriku tertekan sebab barang nampak macam sampah tapi sebenarnya banyak kena beli dan digam jadi pokok bunga.
“Kerana itu saya rasa subjek seni sekarang amat membebankan ibu bapa. Kasihan keluarga yang kais pagi makan pagi,” ujarnya.