PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menerima pakai resolusi yang mengecam semua tindakan keganasan terhadap kitab suci sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Ia berlaku berikutan beberapa pembakaran dan penodaan al-Quran di negara-negara Eropah, termasuk kes pembakaran al-Quran yang berprofil tinggi baru-baru ini di hadapan sebuah masjid di Sweden, yang dibenarkan oleh polis, hingga menimbulkan kemarahan antarabangsa.
Pemimpin dan ahli politik Islam menegaskan bahawa penodaan dan provokasi seperti itu tidak dilindungi oleh undang-undang kebebasan bersuara.
Perhimpunan Agung dengan 193 ahli itu menerima pakai resolusi yang digubal oleh Maghribi secara konsensus.
Ia secara keras mengutuk ”semua tindakan keganasan terhadap orang berdasarkan agama atau kepercayaan mereka, serta sebarang tindakan sedemikian yang ditujukan terhadap simbol agama mereka, kitab suci, rumah, perniagaan, harta benda, sekolah, pusat kebudayaan atau tempat ibadat, serta semua serangan ke atas dan di tempat keagamaan, tapak dan kuil yang melanggar undang-undang antarabangsa.”
Pada 12 Julai, Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang berpangkalan di Geneva turut mengutuk serangan baru-baru ini terhadap al-Quran walaupun negara-negara Barat mengundi menentang resolusi itu.
Resolusi itu menyeru kecaman terhadap serangan yang menyasarkan al-Quran dan menyifatkan ia sebagai ‘tindakan kebencian agama’. – Anadolu Agency