HomeBeritaPolitikTawaran Azmin Ali, Rina Harun pada PRN Selangor

Tawaran Azmin Ali, Rina Harun pada PRN Selangor

PETALING JAYA: Selepas tewas di kerusi Parlimen Sepang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Datuk Seri Rina Mohd Harun kini kembali membuat penampilan semula.

Ketua Srikandi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu antara dua nama besar dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu 3.

Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dijangka berdepan calon Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al Rashid Haron dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Beliau berkata, pencalonan terhadapnya dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti demi menguatkan lagi jentera Perikatan Nasional (PN) khususnya di Selangor.

“Sebenarnya banyak isu yang mahu dibangkitkan di Batu 3 termasuk tentang kos sara hidup, peningkatan kuasa membeli, isu banjir dan sebagainya.

“Bercakap mengenai persaingan dengan parti lawan, saya rasa dekat mana-mana pun kita akan berjuang dengan niat yang ikhlas (untuk rakyat),” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman calon PN PRN Selangor di Taman Medan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai dua pertuduhan yang dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, Rina menganggap rakyat sebagai pemilih yang bijak memilih.

“Kita ada pelbagai sumber untuk kita dapatkan maklumat dan sudah pasti apa yang kami (PN) perjuangkan akan membawa suara rakyat,” tambahnya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menghadapi pertuduhan berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Sementara itu, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohd Azmin Ali berkata, PN berdepan cabaran untuk meningkatkan kebajikan rakyat negeri itu yang kebanyakan berstatus B40 dan B60.

Mohd Azmin yang dicalonkan di DUN Hulu Kelang berkata, PN akan menawarkan peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan tersebut sekiranya berjaya menakluk Selangor kelak.

“Selain itu, kita memerlukan kepimpinan yang kuat. Ketika ini, sukar untuk mendapatkan kepercayaan dalam kepimpinan.

“Jadi, kita kena dapatkan kepercayaan penduduk Selangor dan kita sudah melihat apa yang kita lakukan semasa pandemik (Covid-19). Itu merupakan isu sukar (ditangani) bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global.

“Alhamdulillah, disebabkan kepimpinan yang bagus dalam PN, kita boleh menangani cabaran ini,” katanya sambil menegaskan bahawa PN mewakili semua kaum di negara ini.

Mohamed Azmin berdepan calon PKR, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli di DUN Hulu Kelang.

Mohamed Azmin pernah menjadi ADUN Hulu Kelang pada 1999 namun tewas pada 2004 kepada calon Barisan Nasional (BN).

Beliau kemudian berpindah ke Bukit Antarabangsa pada 2008 dan mempertahankan kawasan itu sehingga sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri itu menang kerusi DUN Bukit Antarabangsa atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 dengan majoriti lebih 25,000.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan seramai 56 calon PN diketengahkan pada PRN Selangor kali ini.

Author

Pilihan Editor