HomeBeritaPolitik'Terpulang Badan Perhubungan Negeri' - Tok Mat ulas Tengku Zafrul tak tercalon...

‘Terpulang Badan Perhubungan Negeri’ – Tok Mat ulas Tengku Zafrul tak tercalon PRN Selangor

KUALA LUMPUR: Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) untuk dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sudah pun diumumkan pada Jumaat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 108 calon dikemukakan dan daripada jumlah itu, 12 daripadanya akan bertanding di Selangor.

Sementara itu, BN menawarkan 17 calon di Negeri Sembilan, Terengganu (27), Kelantan (31), Kedah (15) dan Pulau Pinang (6).

Di Selangor, jangkaan sebilangan pihak untuk melihat Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz
dicalonkan pada PRN meleset, setelah nama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tiada dalam senarai bersama 12 calon lain.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, senarai nama calon bagi PRN di enam negeri itu dikemukakan oleh Badan Perhubungan Negeri masing-masing.

“Jadi, ia terpulang kepada Badan Perhubungan masing-masing untuk menamakan (calon) dan kami saring mana yang sesuai.

“Kita bincang semula dengan Badan Perhubungan dan secara persetujuan bersama kita akan memilih calon terbaik untuk mewakili parti,” katanya selepas majlis pengumuman calon BN PRN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Jumaat.

Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja sebelum ini bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Pada masa sama, Mohamad tidak menolak kemungkinan akan ada pertambahan nama calon pada saat akhir.

“Tapi adakalanya kalau dah dapat watikah pun tukar juga kan?” katanya.

Tambah beliau, pembahagian calon sudah selesai namun, satu kerusi DUN di Terengganu belum dinamakan.

“Ini kerana kita masih membuat saringan tertentu seperti biasanya,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, calon-calon yang dipilih adalah daripada kalangan terbaik, dengan turut mengambil kira jika mereka memiliki kes jenayah, kes mahkamah dan kes mahkamah syariah.

Author

Pilihan Editor