HomeGaya Hidup4,000 langkah sehari kurangkan risiko kematian awal - Kajian

4,000 langkah sehari kurangkan risiko kematian awal – Kajian

CYBERJAYA: Sebuah kajian menunjukkan dengan hanya berjalan kaki dalam 4,000 langkah sudah cukup untuk mengurangkan risiko kematian awal disebabkan sebarang faktor.

Kajian dijalankan terhadap lebih 226,000 orang di seluruh dunia itu turut menunjukkan bahawa 2,300 langkah sudah mencukupi untuk memberi manfaat kepada jantung dan saluran darah, lapor BBC.

Profesor Maciej Banach dari Universiti Lodz, Poland berkata, walaupun jumlah ubat-ubatan canggih untuk rawatan semakin bertambah, ia bukanlah satu-satunya penyelesaian.

“Saya percaya kita sepatutnya sentiasa menekankan bahawa perubahan gaya hidup, termasuk pemakanan dan senaman, yang menjadi ‘pahlawan’ (faktor) utama dalam analisis kami, mungkin setidaknya sama atau bahkan lebih berkesan dalam mengurangkan risiko kardiovaskular dan memanjangkan hayat,” katanya.

Dalam masa sama, para penyelidik memaklumkan, semakin banyak aktiviti berjalan dilakukan, semakin banyak manfaat kesihatan yang dapat dilihat.

Malah, setiap tambahan 1,000 langkah melebihi 4,000 akan mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 15 peratus sehingga 20,000 langkah.

Pasukan penyelidik dari Universiti Perubatan Lodz dan Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat mendapati, manfaat berjalan ini terpakai kepada semua jantina dan umur, tanpa mengira di mana mereka tinggal.

Walau bagaimanapun, manfaat terbesar dilihat dalam kalangan individu berusia di bawah 60 tahun.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ketidakcukupan aktiviti fizikal menyebabkan 3.2 juta kematian setiap tahun iaitu punca keempat paling kerap berlaku di seluruh dunia.

Author

Pilihan Editor