ANGKA kematian akibat kebakaran hutan di Kula, Pulau Maui, Hawaii, Amerika Syarikat (AS) kini mencecah 99 orang.
Gabenor Hawaii, Josh Green (D) berkata, pakar menjangkakan bahawa mayat mangsa yang hilang mungkin akan ditemui antara 10 hingga 20 orang setiap hari untuk 10 hari akan datang, lapor Washington Post.
Green berkata, hampir 2,000 unit perumahan sudah dibuka sebagai pusat perpindahan sementara, yang menempatkan sebanyak 220 keluarga.
Katanya, sekurang-kurangnya 402 bilik hotel sudah disediakan pada Isnin, manakala 1,400 unit Airbnb dijangka tersedia mulai Selasa.
Sementara itu, 160 orang lagi menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal di kediaman mereka.
Green turut menjangkakan, mangsa yang terlibat memerlukan tempat tinggal sementara bagi tempoh sekurang-kurangnya 36 minggu.
Kira-kira 86 peratus daripada struktur yang musnah akibat kebakaran itu adalah bangunan kediaman.
Sementara itu, polis pada Selasa dijangka akan mendedahkan identiti mayat yang dikenal pasti, manakala waris dan keluarga mangsa turut dimaklumkan mengenai perkara itu.
Namun, Ketua Polis Maui, John Pelletier berkata, hanya tiga daripada 99 mayat yang ditemui telah dikenal pasti identiti mereka menerusi cap jari.
Kebanyakan mayat tersebut rentung dan hancur sehingga cap jari masing-masing sukar untuk dikesan.
Sehubungan itu, Pelletier merayu mereka yang kehilangan saudara mara untuk memberikan sampel DNA bagi mempercepatkan proses pengecaman.
Katanya, anjing pengesan masih mempunyai kawasan yang luas untuk mencari mangsa yang tidak dapat dikesan.
Pekan pantai bersejarah di Pulau Maui hampir musnah sepenuhnya akibat kebakaran pada awal pagi Rabu lalu, dengan kebanyakan yang terselamat mendakwa tiada amaran diberikan.