HomeBeritaMahkamah & JenayahBengang berkawan dengan teman wanita punca remaja dibelasah berkumpulan

Bengang berkawan dengan teman wanita punca remaja dibelasah berkumpulan

GARA-GARA berkawan dengan seorang wanita, seorang remaja lelaki teruk dibelasah oleh sekumpulan remaja lain pada 9 Ogos lalu.

Menerusi video tular, mangsa dipukul, ditendang, disepak, dipijak dan ditumbuk disebabkan wanita terbabit merupakan teman istimewa kepada salah seorang daripada tujuh suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek utama tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai berkawan dengan teman wanitanya.

“Polis mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan polis pada jam 4.09 petang semalam oleh mangsa yang mendakwa dia dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di perut, belakang badan, paha dan lengan kiri serta kanan.

“Suspek adalah enam remaja lelaki tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing semuanya berusia antara 14 hingga 17 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku di tempat awam dekat kawasan Taman Bestari Indah di sini, jam 3 petang 9 Ogos lalu dan pengadu mengalami cedera lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian paha sebelah kanan dan mengalami kesakitan di keseluruhan tubuh badan,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, antara jam 5.30 petang hingga 9.34 malam Isnin, polis menyerbu enam lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

“Hasil serbuan berjaya menahan enam suspek lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Kita turut membuat beberapa rampasan iaitu sehelai jersi warna biru, tiga helai t-shirt lengan panjang warna biru gelap, sehelai t-shirt lengan pendek warna hitam dan sebuah telefon bimbit,” katanya.

Terdahulu, satu video tular di media sosial Facebook dimuat naik pemilik akaun Yatt Kasmuri berdurasi 59 saat, yang memaparkan kejadian seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lelaki lain di tempat awam.

Menurut Raub, tujuh suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan tempoh reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 kanun keseksaan.

 

 

Author

Pilihan Editor