CYBERJAYA: Isteri kepada YouTuber terkena, Syahmi Sazli iaitu Anissa Faizul tampil memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataanya mengenai isu bekalan air di Kelantan baru-baru ini.
Malah, Anissa yang mesra dengan panggilan Nissa reda jika wujud sebilangan pihak yang bertindak memboikot perniagaannya susulan teguran terbuka yang dibuatnya sebagai rakyat Kelantan.
“Nissa minta maaf tentang isu Nissa bersuara haritu (kelmarin) menyebabkan ada pihak kurang senang.
“Yang mana komen nak boikot bisnes Nissa dan Syahmi, Nissa reda sahaja. Setiap pilihan yang dibuat pasti ada risikonya,” luahnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Nissa turut berterima kasih kepada mereka yang setia menyokong dirinya dan suami serta memberikan kata-kata semangat.
“Bagi yang beri kata semangat dan terus support (sokong) Nissa dan Syahmi, Nissa ucapkan terima kasih banyak-banyak. Semoga urusan korang (anda) semua dipermudahkan,” tulisnya.
Terdahulu, Nissa meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila masalah air di Kelantan masih tidak diselesaikan meskipun sudah lebih 30 tahun pihak terlibat memerintah pentadbiran negeri.
Katanya, air merupakan keperluan penting buat semua orang bagi melakukan sebarang aktiviti harian terutama mengambil wuduk untuk mengerjakan solat.
Bagaimanapun, sebilangan netizen ‘menyerang’ Nissa selepas wanita itu berkongsi keluhan mengenai masalah air yang tidak berkesudahan.