HomeGlobalAngkara teman lelaki! Leher wanita dirantai, rambut dipotong dengan parang

Angkara teman lelaki! Leher wanita dirantai, rambut dipotong dengan parang

PIHAK polis menyelamatkan seorang wanita yang dirantai di sebuah kediaman selama dua hari di Kentucky, Amerika Syarikat (AS).

Mereka tiba di lokasi kejadian 16 Ogos lalu kira-kira jam 7 malam, selepas menerima laporan jiran terdengar jeritan.

Operasi menyelamat itu dirakam menerusi kamera yang dipasang di badan anggota penyelamat.

Dalam operasi itu, polis Louisville Metro dilihat memecah masuk ke dalam kediaman itu dengan menendang pintu dan tingkap, namun banyak halangan yang perlu dirempuh.

Tidak lama kemudian, polis memutuskan untuk naik ke tingkat dua kediaman itu menggunakan tangga sebelum memecahkan tingkap.

Wanita itu dilihat menangis teresak-esak selepas pihak polis menemuinya, lapor NDTV.

Ketika ditemui, leher mangsa dikunci dengan rantai yang dipasang pada lantai.

Pihak polis menggunakan kapak untuk memutuskan rantai pada lantai itu, manakala pemotong bolt digunakan untuk melepaskan rantai pada leher mangsa.

Suspek dikenali sebagai Moises May, 36, ditahan dua hari selepas operasi menyelamat berkenaan.

Menurut laporan diperoleh, suspek  dipercayai teman lelaki mangsa tinggal bersama-sama wanita itu dan anak mereka di kediaman tersebut.

Dia dipercayai mengurung dan merantai mangsa itu selepas berlaku pertengkaran sesama mereka.

Bagi mengelakkan pertengkaran tidak menjadi lebih buruk, wanita tersebut meninggalkan kediaman terbabit pada waktu malam dan kembali ke bangunan sama pada keesokan hari untuk mengambil barang-barangnya.

Selain melakukan tindakan kejam, suspek turut dilapor merampas telefon bimbit mangsa untuk mengelakkannya berhubung dengan orang ramai.

Dia juga didakwa memotong rambut mangsa dengan parang serta membuat ancaman bunuh.

Susulan kejadian, suspek berdepan dengan beberapa pertuduhan termasuk menculik, ugutan keganasan dan membuat gangguan.

Dia perlu membayar jaminan AS$100,000 (RM464,130) dan dijadual untuk dihadapkan semula di mahkamah pada 28 Ogos ini.

Author

Pilihan Editor