HomeBeritaCuti sekolah: Elak melancong di Thailand, kes influenza meningkat

Cuti sekolah: Elak melancong di Thailand, kes influenza meningkat

CYBERJAYA: Kerajaan Negeri Kedah menyarankan orang ramai menangguh hasrat untuk melancong ke Thailand susulan peningkatan kes penularan wabak influenza di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, sempena musim cuti sekolah yang bermula esok, orang ramai dinasihatkan supaya melancong di dalam negeri khususnya di Langkawi bagi mengelak penularan wabak itu.

“Kita menasihatkan orang ramai agar kurangkan melancong ke Thailand pada masa sekarang. Banyakkan berehat dan bercuti dalam negara sahaja terutama di Kedah. Banyak lagi tempat menarik di sini seperti di Langkawi.

“Kalau ke sana (Thailand) kes itu merebak ke sini, jadi masalah lain pula bawa kemudaratan kepada rakyat kita sendiri,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.

Tambah beliau, individu yang terpaksa berkunjung ke negara itu atas urusan rasmi dan perniagaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk melakukan kuarantin jika mempunyai simptom influenza.

“Kita tidak boleh menghalang jika ada yang perlu ke Thailand tetapi ambil langkah berjaga-jaga jika perlu pakai topeng muka ketika di sana dan bila kembali jika ada simptom, kuarantin di rumah supaya tidak ada jangkitan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand memaklumkan angka jangkitan influenza di negara itu sudah melebihi 970,000 kes bagi tahun 2023.

Malah, DDC Thailand turut memberi amaran tentang trend peningkatan kes itu terutama selepas meragut nyawa seorang lelaki berusia 39 tahun yang mempunyai masalah hati dan ketagihan alkohol.

Author

Pilihan Editor