HomeHiburanDolla belajar bahasa Sepanyol demi ‘Damelo’, hadiah buat peminat luar negara

Dolla belajar bahasa Sepanyol demi ‘Damelo’, hadiah buat peminat luar negara

 

DEMI peminat daripada luar negara, kumpulan Dolla gigih mempelajari sebutan bahasa Sepanyol demi memastikan lagu terbaharu mereka, ‘Damelo’ disampai dengan betul.

Menurut salah seorang ahli kumpulan, Tabby atau Tabitha Ariel Lam, 23, judul Damelo itu diambil daripada bahasa Sepanyol.

Katanya, sokongan dan dorongan daripada peminat yang disedari boleh berbahasa Sepanyol membuahkan idea buat Dolla tampil dengan single, Damelo.

“Kami sebenarnya mempunyai agak ramai Spanish speaker fan. Dekat Twitter pun ada peminat yang akan terjemahkan kami punya tweet dalam bahasa Sepanyol.

“Jadi, kami terfikir kenapa tidak kami menyanyikan lagu yang mempunyai vibes Mexican dan maka terhasillah Damelo,” katanya seperti dilapor mStar.

Tabby berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu baharu, Damelo yang diadakan di Publika, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas lanjut berhubung Damelo, Dolla mendedahkan pada asalnya Damelo ditulis dalam bahasa Sepanyol namun diolah ke Bahasa Melayu dan Inggeris oleh penyanyi rap wanita, Sya dan diterbitkan oleh bintang hiphop, SonaOne.

Namun, menurut Dolla terdapat beberapa bahagian dalam lagu Damelo yang dikekalkan bahasa Sepanyol sebagai tanda penghormatan kepada penulis asal karya.

Damelo kini boleh didengar di seluruh platform digital manakala muzik video lagu itu akan disiarkan di saluran YouTube rasmi Dolla Vevo mulai 4 Ogos ini.

Author

Pilihan Editor