PASUKAN Monster Yamaha telah menggumumkan Alex Rins sebagai rakan sepasukan baharu untuk Fabio Quartararo bagi saingan musim 2024 menggantikan Franco Morbidelli.
Memenangi perlumbaan sebanyak lima kali ketika bersama Suzuki, Rins telah beralih kepada LCR Honda musim ini selepas pasukan Suzuki menarik diri dari saingan MotoGP.
Rins juga telah menamatkan kemarau kemenangan Honda di Litar Texas, Amerika Syarikat atau lebih dikenali sebagai COTA secara sensasi.
Selepas kemenangan di COTA, prestasi Rins agak merundum dengan hanya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan pada perlumbaan seterusnya.
Pelumba berusia 27 tahun itu yang baru sahaja pulih dari kecedaraan patah kaki pada saingan di litar Mugello agak kecewa dengan proses penambahbaikan yang perlahan dalam pasukan satelit LCR.
Walaupun perjanjian HRC pelumba Sepanyol itu selama dua musim, difahamkan dia mempunyai klausa keluar dalam kes tawaran pasukan kilang.
The first domino has fallen ✅
The rest won't be too far behind 🔜#MotoGP2024 pic.twitter.com/yOWMqmp8Ua
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) August 2, 2023
Seperti GSX-RR, Yamaha M1 menggunakan konfigurasi enjin inline dan bukannya susun atur V4 seperti jentera Honda, Ducati, KTM dan Aprilia.
“Kami gembira Alex menyertai barisan Yamaha dan kami sangat mengalu-alukannya ke pasukan Yamaha MotoGP,” kata pengarah urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis.
“Kami menjangkakan Alex menjadi aset yang hebat. Dia mempunyai pengalaman luas sebagai pelumba MotoGP dan dikenali sebagai bakat semula jadi dan memenangi beberapa perlumbaan kelas MotoGP.
“Dia sudah mempunyai pengalaman dengan dua pengeluar MotoGP lain dan telah menunggang motosikal dengan ciri-ciri yang serupa dengan YZR-M1 yang sepatutnya membantunya menyesuaikan diri dengan cepat bersama jentera kami.
“Kemenangannya dalam COTA awal tahun ini menggariskan kepantasan, kemahuan dan keazamannya untuk berjaya,” ujarnya.