HomeGlobalGagal lari dari penjara, banduan culik pelacur dicekup semula

Gagal lari dari penjara, banduan culik pelacur dicekup semula

SEORANG lelaki yang didakwa menculik dan mengurung seorang pelacur sudah pun ditangkap semula, selepas melakukan cubaan keluar dari penjara.

Negasi Zuberi, 29, ditangkap cuba memecahkan kaca di tingkap Penjara Daerah Jackson, Amerika Syarikat (AS) pada petang Selasa.

Pejabat Syerif Daerah Jackson berkata, kejadian itu bermula apabila seorang pekerja penyelenggaraan mengadu terdengar bunyi mencurigakan datang dari sel Zuberi pada sekitar jam 12.45 tengah hari.

Apabila pegawai bertugas datang menyiasat, Zuberi didapati sedang berdiri di atas katil dua tingkat di sebelah tingkap sumbing.

“Pegawai penjara segera menahan Zuberi dan memeriksa badannya dengan pengimbas sebelum dihantar ke sel lain yang dibina tanpa sebarang tingkap.

“Mereka juga menemui alat yang dipercayai digunakan banduan tersebut untuk merosakkan tingkap,” katanya seperti dilapor New York Post.

Tingkap luar penjara diperbuat daripada kaca, manakala banduan tersebut hanya mampu merosakkan lapisan dalaman, kata polis.

Zuberi juga akan didakwa dengan cubaan melarikan diri dari penjara dan berkelakuan tidak senonoh.

Sementara itu, peguam Zuberi enggan mengulas mengenai kejadian tersebut.

Sebelum ini, bapa kepada dua anak itu melakukan perjalanan dari rumahnya di Klamath Falls, Oregon ke Seattle.

Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), dia menyamar sebagai pegawai polis dan menjemput pergi seorang pelacur sebagai permulaan untuk melaksanakan jenayahnya pada 15 Julai lalu.

Wanita itu mendakwa, Zuberi memegang pistol perenjat elektrik (taser gun) dan mengancam untuk mencederakannya ketika mereka dalam perjalanan kembali ke Oregon.

Zuberi kemudian mengurung wanita itu di dalam sebuah bilik yang dibina di garaj rumahnya.

Tidak lama kemudian, wanita tersebut berjaya melarikan diri, selepas sedaya upaya memecahkan pintu bilik tersebut sehingga tangannya berlumuran darah.

Di pertengahan jalan, mangsa kemudian terserempak dengan seorang pejalan kaki sebelum meminta bantuan untuk menghubungi pihak polis.

Zuberi dikesan oleh pihak berkuasa di sebuah tempat letak kereta Walmart, tidak jauh dari kediamannya sehari selepas kejadian.

Dia memutuskan untuk menyerah diri selepas mengalami kebuntuan selama 45 minit, menurut FBI.

Hasil pemeriksaan di kediamannya menemukan nota yang memaparkan rancangan untuk mengatur dan menjalankan jenayah yang dilakukan suspek.

 

Suspek menggunakan beberapa nama samaran untuk melaksanakan aktiviti jenayahnya. -Foto: Agensi

Menurut pihak berkuasa, Zuberi yang menggunakan nama samaran Justin Hyche, Justin Kouassi dan Negasi Sakima mengaku tidak bersalah atas tuduhan menculik dengan niat untuk terlibat dalam aktiviti jenayah seksual.

Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

FBI berkata, pihaknya sedang mengesan individu lain yang turut menjadi mangsa sejak 2016 di negeri lain.

Zuberi menggunakan sekurang-kurangnya 10 nama samaran selama bertahun-tahun, manakala isterinya, Alycia Westfall pernah muncul dalam rancangan televisyen pada 2019.

Menggunakan nama Justin Hythe, dia menyaman isterinya selepas berlaku pertengkaran sesama mereka manakala dokumen samannya juga dirosakkan dengan cecair peluntur.

 

Author

Pilihan Editor