HomeBeritaKedah guna logo, tema Hari Kebangsaan sama Kerajaan Persekutuan

Kedah guna logo, tema Hari Kebangsaan sama Kerajaan Persekutuan

ALOR SETAR: Kedah akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang dipilih Kerajaan Persekutuan bagi sambutan peringkat negeri, tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan yang negeri itu menggunakan logo dan tema sama iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Katanya, penggunaan logo dan tema itu tidak menjadi masalah, sebaliknya yang lebih penting adalah semangat patriotik dalam kalangan rakyat setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.

“Kita ikut (logo dan tema) Persekutuan sama macam Terengganu. Pendirian kita tak ada isu dalam logo dan tema yang sama kerana sambutan peringkat Kebangsaan jadi negeri ikut sahaja.

“Bukan bermakna kita setuju dengan Madani atau Perpaduan, mereka boleh letak apa (tema) pun kerana hati kita macam kita juga. Yang penting patriotik.

“Slogan yang (tahun) lepas pun kita lupa, lepas ini (pun) kita lupa… bukan kita nak ikut Pakatan Harapan (PH), tapi dijadikan slogan nasional maka ikut saja,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri.

Beliau dilapor berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu mungkin menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor