HomeBeritaNahas pesawat: Bedah siasat selesai, fokus padanan DNA – Polis

Nahas pesawat: Bedah siasat selesai, fokus padanan DNA – Polis

KLANG: Proses bedah siasat 10 mangsa nahas pesawat persendirian ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin, selesai dan kini usaha tertumpu kepada proses pengecaman melalui padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, urusan bedah siasat yang dijalankan oleh 30 pegawai patologi dan forensik selesai sepenuhnya di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) malam tadi.

Jelas beliau, sebanyak 300 sampel cebisan mayat dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya bagi tujuan padanan DNA yang 30 peratus sudah diselesaikan setakat ini.

“Kita sudah mendapat satu padanan DNA yang disahkan sebagai penunggang p-hailing, Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, dan jenazah diserahkan kepada warisnya hari ini.

“Jabatan Kimia kini berusaha keras melengkapkan semua padanan DNA semua mangsa dan kita positif urusan akan selesai Isnin ini,” katanya pada sidang akhbar di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTAR, hari ini.

Beliau menambah, selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

“Setakat ini polis berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa. Kita menjangkakan satu lagi jenazah dapat dikenal pasti hari ini dan boleh diserahkan esok,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan waris mangsa dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kelak.

“Terdapat cebisan mayat terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA. Waris juga perlu bersabar kerana proses itu rumit dan sensitif, kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik sebenarnya,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz dituntut bapa, Muhamad Salleh Othman, 57, dan ibunya, Jamilah Ismail, 53, kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu merupakan pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.

Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir. – Utusan

 

Author

Pilihan Editor