HomeBeritaPolitikSuhaizan calon Amanah PRK Parlimen Pulai, Nazri DUN Simpang Jeram

Suhaizan calon Amanah PRK Parlimen Pulai, Nazri DUN Simpang Jeram

CYBERJAYA: Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat, 50, dinamakan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai bulan depan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi DUN Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, 56, pula dipilih menjadi calon.

Mohamad berkata, pencalonan kedua-dua mereka selepas mengambil kira semua faktor dan pandangan Jawatankuasa Pemilihan Calon Bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang ditubuhkan Amanah.

“Insya-Allah calon-calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos ini di DUN Simpang Jeram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor pada 9 September depan.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September 2023.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian Salahuddin yang merupakan penyandang kedua-dua kerusi tersebut, pada 23 Julai lalu.

Author

Pilihan Editor