CYBERJAYA: Pelakon, Diana Danielle memilih untuk berdiam diri berhubung dakwaan sebilangan pihak yang mendakwa dia mengubah hidung.
Diana, 32, bagaimanapun mengakui mempunyai masalah ketidakyakinan pada bahagian tubuhnya.
“Saya memang ada ketidakyakinan berkaitan tubuh badan saya dan saya rasa itu adalah normal.
“Tidak kira betapa sempurna anda rasa atau orang lain rasa, mesti akan ada rasa tidak yakin dengan diri sendiri.
“Saya ada cara tersendiri untuk mengatasinya dan saya rasa tidak perlu untuk jelaskan secara terperinci. Kalau nak tahu mungkin boleh mesej secara peribadi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Baru-baru ini, netizen mendakwa Diana mengubah bahagian hidungnya ketika tampil di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menghadiri prosiding tuntutan hadanah atau hak penjagaan anaknya bersama bekas suami, Farid Kamil.
Mahkamah Tinggi Syariah kemudian mengeluarkan perintah hak penjagaan penuh melibatkan Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 8, kepada Diana selepas mereka bercerai talak satu pada 10 Ogos menerusi aplikasi atas talian, Google Meet.