NEYMAR Jr diumum sebagai pemain termahal Liga Pro Saudi, selepas Paris Saint-Germain (PSG) bersetuju untuk melepaskan penyerang Brazil itu ke Al-Hilal dengan yuran perpindahan bernilai £77 juta (RM389.4 juta).
Pemain berusia 31 tahun itu difahamkan turut menerima kira-kira £275 juta (RM1.4 bilion) sepanjang kontrak dua tahunnya di kelab itu.
“Saya di sini di Arab Saudi. Saya Al-Hilali,” katanya seperti dilapor The Telegraph.
Wakil Neymar dilaporkan tertarik dengan tawaran besar dikemukakan oleh Al-Hilal.
Neymar diumumkan sebagai pemain baharu kelab itu, selepas dia lulus ujian perubatannya pada Isnin.
Perpindahan Neymar menandakan tamatnya Galacticos di PSG, selepas Lionel Messi berhijrah ke Inter Miami pada awal jendela perpindahan tempoh hari.
Jumlah yuran diterima dan perpindahan Neymar yang menerima gaji £21 juta (RM106 juta) setahun akan meredakan kebimbangan kewangan untuk kelab berkenaan.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi memberi lampu hijau kepada pengurus kelab itu, Luis Enrique untuk melaksanakan rombakan besar-besaran yang menyaksikan banyak pembelian pemain muda akan dilakukan.
Neymar memiliki kontrak bersama PSG sehingga 2027, namun kini menjadi antara pemain terkemuka Liga Pro Saudi di samping Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema.
Dia menyertai PSG pada tahun 2017 dari Barcelona dengan rekod perpindahan dunia ketika itu bernilai £222 juta (RM1.12 bilion).
Al-Hilal turut disertai oleh nama-nama besar seperti Ruben Neves dari Wolves dan Kalidou Koulibaly dari Chelsea.
Sabtu lalu, Al-Hilal tewas 1-2 di tangan Al-Nassr, kelab yang disertai Ronaldo dalam perlawanan akhir Piala Juara Kelab Arab.
Neymar, yang akan memakai jersi nombor 10 di Al-Hilal, menandatangani kontraknya di Hotel Four Seasons George V di Paris dan turut disaksikan oleh Presidennya, Fahad Saad Nafel.
“Saya telah memperoleh banyak pencapaian di Eropah dan menikmati momen istimewa, namun saya sentiasa mahu menjadi pemain global dan menguji diri saya dengan cabaran dan peluang baharu di tempat baharu.
“Saya mahu mencipta sejarah sukan baharu dan Liga Pro Saudi memiliki tenaga luar biasa serta pemain berkualiti pada masa ini. Saya mendapat tahu saya antara pemain Brazil yang pernah bermain di Arab Saudi dan saya percaya ia adalah tempat yang baik untuk saya,” katanya dalam kenyataan media sebelum ini.
Fahad menyifatkan Neymar merupakan ikon global yang membawa keterujaan kepada semua peminat di mana sahaja dia bermain.
“Tumpuan sentiasa tertumpu kepada Neymar dan dia sentiasa memberikan yang terbaik. Kami gembira dia menyertai Al-Hilal, iaitu kelab paling berjaya di seluruh Asia,” katanya.