KUALA LUMPUR: Kemunculan seekor kucing jantan berwarna jingga dikenali ‘Oyen’ di Zoo Negara, di sini, nyata membawa tuah.
Malah, Oyen yang tinggal bersama Capybara dalam zoo itu turut menarik perhatian pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Bersempena dengan Hari Kucing Sedunia, pihak Zoo Negara hari ini dengan rasminya memasang papan tanda ‘Oyen’ bersebelahan dengan papan tanda Capybara di kawasan penempatan haiwan berkenaan.
Pemasangan papan tanda itu adalah simbolik rasmi menyatakan bahawa Oyen kini menjadi sebahagian haiwan yang dipelihara oleh Zoo Negara.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, kemunculan Oyen di zoo mendapat sambutan menggalakkan sehingga lebih 50 peratus pengunjung datang ke zoo hanya untuk melihat Oyen.
“Oyen adalah star of Zoo Negara buat masa ini. Oyen datang pada tahun 2020 waktu PKP dan dia mula bermesra dengan Capybara, lama-kelamaan Oyen rapat hingga makan sekali dengan Capybara (dalam satu kawasan).
“Pada awalnya, Oyen agak liar, jadi saya minta kakitangan Zoo Negara bantu jinakkannya bagi memudahkan pihak zoo pantau keadaan kesihatannya.
“Setiap pagi, biasanya kakitangan akan semak najis untuk lihat normal atau sebaliknya. Begitu juga dengan wataknya (murung), kalau tak okay kita akan laporkan kepada veterinar untuk beri rawatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemasangan papan tanda ‘Oyen’ disini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Rosly menyatakan pihak Zoo Negara turut berhasrat mencarikan pasangan buat Oyen bagi memastikan kesinambungan kucing itu terpelihara.
“Buat masa ini saya juga berhasrat mencarikan pasangan Oyen, warna jingga juga supaya ada kesinambungan Oyen.
“Buat masa ini, kita masih mencari-cari lagi pasangannya,” ujarnya.