SEORANG wanita warga emas maut selepas membakar dirinya secara tidak sengaja.
Tragedi berlaku di Yecla, sebuah bandar yang terletak di wilayah tenggara Sepanyol di Murcia, pada 10 Ogos, ketika negara Mediterranean itu mengalami gelombang panas ketiga pada musim panas.
Wanita berusia 71 tahun itu, yang identitinya masih belum dikongsi, merendam bahagian badannya dalam alkohol dalam usaha untuk menyejukkan diri.
Pada hari kejadian ngeri itu, ramalan cuaca memberi amaran suhu boleh mencapai paras tertinggi 45C di Murcia.
Tidak lama selepas menggunakan kaedah lama itu untuk menurunkan suhu badannya, wanita itu menyalakan rokok dan membakar dirinya secara tidak sengaja apabila kulitnya yang dibasahi alkohol terkena api.
Kebakaran menyebabkan melecur serius pada badannya dan, walaupun dikejarkan ke Hospital Virgen de Arrixaca, wanita warga emas itu tidak dapat diselamatkan.
Selepas kematiannya pada Khamis minggu lalu, mayat wanita itu dibawa ke Institut Perubatan Forensik untuk bedah siasat.
Ini bukanlah kematian pertama seumpama ini. Pada Jun 2019, seorang wanita berusia 86 tahun kehilangan nyawanya selepas dia menyiram sebahagian badannya dengan alkohol.
Sama seperti yang berlaku kepada wanita di Murcia, wanita tua itu dibakar oleh percikan api.
Wanita itu, dari bandar Itali Arezzo, di Tuscany, dibantu oleh anggota bomba dan paramedik yang membawanya ke hospital.
Bagaimanapun, luka melecurnya sangat serius, doktor tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawanya.
Penggunaan cologne dan jenis bahan beralkohol lain – seperti alkohol rosemary, telah dianggap selama bertahun-tahun sebagai kaedah tradisional melawan panas.
Walau bagaimanapun, kerana ia mendedahkan badan kepada risiko mudah terbakar, orang ramai tidak digalakkan untuk menggunakan kaedah ini.
Insiden di Murcia berlaku ketika agensi cuaca Sepanyol, AEMET, telah mengeluarkan satu lagi amaran merah untuk cuaca panas melampau di rantau itu.
Suhu pada hari kematian wanita warga emas berusia 71 tahun itu meningkat melebihi 40C.
Minggu lalu, AEMET merekodkan suhu mencecah 44C malah 45C di beberapa lokasi.
Montoro, sebuah perbandaran di wilayah Cordoba, mencecah 45.3C pada hari Jumaat.
Sepanyol adalah salah satu negara Eropah yang telah berminggu-minggu bergelut dengan suhu panas terik. – Express