HomeHiburanPanggil saya Intan, tak payah Datin - Intan Najuwa

Panggil saya Intan, tak payah Datin – Intan Najuwa

KUALA LUMPUR: “Intan sahaja, tak payah panggil Datin.”

Itu permintaan pelakon Datin Intan Najuwa yang baru bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf Azman, 39, pada majlis pernikahan romantis di sebuah resort di Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor, minggu lalu.

Intan atau nama sebenar, Intan Najuwa Abdul Wahid, 26, mengaku lebih selesa dipanggil Intan kerana canggung disapa Datin.

“Saya agak canggung bila orang sudah panggil saya Datin. Saya masih Intan seperti sebelum ini yang ramai kenal.

“Saya fikir orang perlu kekal panggil Intan. Tak payah sapa Datin sebab tidak memberi apa-apa kelebihan kepada saya.

“Saya okay kalau orang tidak sapa saya Datin. Saya tak kisah pun gelaran itu, panggil sahaja Intan… Kawan-kawan pun saya marah.

“Apabila mereka sapa Datin, saya kata panggil sahaja Intan,” katanya kepada BH Online.

Selepas hampir seminggu mendirikan rumah tangga, Intan masih menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai isteri.

“Sebagai wanita berdikari sebelum ini, apa-apa keputusan saya buat sendiri. Tetapi sekarang saya perlu minta izin suami, kadang-kadang saya lupa perkara itu.

“Ibu ingatkan saya sudah bersuami. Jadi, apa-apa kena minta izin suami,” katanya yang sudah menyediakan juadah asam pedas ayam untuk santapan suami.

Jumaat lalu, Intan dan Ahmad Azraf diijabkabulkan pada majlis eksklusif di sebuah resort di Desaru Coast, Kota Tinggi.

Pada majlis itu, Intan menerima mas kahwin berjumlah RM20,000 serta wang hantaran bernilai RM222,000.

Angka itu diambil sebagai simbolik kepada tempoh perkenalan pasangan dua sejoli itu yang masuk tahun kedua. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor