HomeBeritaPolitikHamzah sahkan akaun bank dibeku, percaya ada campur tangan politik

Hamzah sahkan akaun bank dibeku, percaya ada campur tangan politik

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bahawa akaun bank beliau dan isteri telah dibekukan sejak semalam oleh pihak berwajib.

Menurut Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu, beliau percaya bahawa tindakan itu diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin-pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan di Putrajaya.

“Pembekuan ini, yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan PN yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.

“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada Perikatan Nasional yang memenangi 146 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) didakwa membekukan akaun milik Hamzah dan ahli keluarga terdekatnya, bermula semalam.

Difahamkan, tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Hamzah mendakwa, beliau pasti bahawa lebih banyak tindakan politik akan diambil ke atasnya dan pemimpin PN dalam masa terdekat.

Dakwa Ahli Parlimen Larut itu, ia termasuk menggunakan pihak polis bagi menyiasat beliau kerana mengkritik DAP dalam kempen pilihan raya negeri (PRN).

“Tindakan pendakwaan politik ini samalah dengan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu SPRM dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah terhadap pemimpin PN.

“Tetapi akhirnya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

“Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah,” dakwanya.

Tambah Hamzah, kezaliman kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ini tidak akan menghentikan perjuangan beliau.

Jelasnya, beliau akan terus melawan kerajaan zalim ini demi masa depan negara dan rakyat.

“Saya telah menyerahkan suatu surat tuntutan kepada SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia dan peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan Mahkamah terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya,” jelasnya. – UTUSAN

Authors

Pilihan Editor