HomeBeritaPolitikPN akan rampas semula tiga negeri gagal ditawan pada PRN

PN akan rampas semula tiga negeri gagal ditawan pada PRN

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) tidak akan melupakan hasrat untuk merampas semula tiga negeri yang ditawan Kerajaan Persekutuan pada masa akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya yakin kestabilan Kerajaan Persekutuan mampu digugat, meskipun tidak berjaya menawan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

“Tak semestinya begitu (lupa sasaran rampas Kerajaan Persekutuan) kerana kita melihat anjakan perubahan yang besar, yang menunjukkan petanda agak nyata bahawa rakyat mahukan perubahan.

“Itu saya buktikan dengan bilangan kerusi yang kita menang, yang jauh berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Jumlah kerusi yang kita menang itu adalah satu pernyataan amat penting, yang harus diberi perhatian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa sudah ada gelombang besar yang mahukan pembaharuan dan perubahan,” katanya pada sidang media di Hotel Concorde di sini, pada Sabtu.

Pada PRN kali ini, PN berjaya mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya pada minggu lalu berkata, kemenangan PN dalam enam PRN ini akan membolehkan berlakunya perubahan dalam Kerajaan Persekutuan.

Ketika ditanya sama ada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang bakal dilantik Ketua Pembangkang di Selangor, Muhyiddin meminta semua pihak menunggu terlebih dahulu.

Author

Pilihan Editor