HomeMV+PendapatPRN 2023: Pengundi Melayu tolak UMNO, PKR dan Amanah

PRN 2023: Pengundi Melayu tolak UMNO, PKR dan Amanah

DUA tajuk terakhir rencana saya mengenai politik ialah “Melayu tidak boleh bergantung
kepada UMNO lagi” (22.11.2022) dan “Selamat tinggal UMNO” (25.11.2022). Selepas
itu saya tidak menulis lagi mengenai politik sehinggalah ke hari ini. Sebabnya ialah
kerana saya telah hilang minat mengenainya. Ia menyebabkan beberapa orang
bertanya sama ada saya sihat sebab sudah lama saya tidak menulis. Mereka meminta
saya terus menulis kerana, mengikut mereka, banyak orang menunggu untuk
mendengar pandangan saya mengenai isu-isu semasa.

Hari ini, setelah melihat keputusan PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri
Sembilan, Terengganu dan Kelantan, ada sesuatu yang saya ingin katakan. Maka,
saya menulis rencana ini.

Semenjak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 lagi, ramai orang Melayu veteran yang masih sayangkan UMNO menasihatkan ahli-ahli UMNO bahawa UMNO perlu berubah dan dibersihkan.

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, kita memperingatkan pemimpin-pemimpin UMNObahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada UMNO bukan kerana mereka, tetapi in spite of them. Kita memperingatkan pemimpin-pemimpin itu bahawa orang Melayu memberi kemenangan kepada UMNO kerana mereka masih sayangkan
UMNO. Pada masa yang sama, mereka mengharapkan UMNO akan berubah dan
membersihkan diri daripada pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti kepada parti.

Tetapi, pemimpin-pemimpin itu masih ketegar. Mereka menganggap kemenangan itu
adalah kerana mereka. Mereka terus memperkuatkan dan melanjutkan kedudukan
mereka dalam parti dengan meminda perlembagaan parti. Ahli-ahli UMNO bertepuk
gemuruh di Perhimpunan Agung, memberi sokongan kepada “pemimpin-pemimpin
kesayangan” mereka. Orang-orang Melayu veteran yang menegur pemimpin-pemimpin itu dianggap sebagai musuh UMNO.

Tiba PRU15. Pemimpin-pemimpin itu menghadapi pilihan raya itu dengan angkuh
dan penuh keyakinan mereka akan dapat menubuhkan kerajaan pusat semula.

Apa yang terjadi kepada UMNO dalam PRU15 kita semua tahu. UMNO kalah teruk.
Rupa-rupanya, orang Melayu tidak mudah lupa.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih tidak mengambil pengajaran daripada keputusan itu. Mereka lakukan apa yang tidak terfikir oleh kita ada pemimpin UMNO yang sanggup melakukannya. Zahid membawa UMNO bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, melanggar resolusi Perhimpunan Agung UMNO. Ahli-ahli MKT UMNO mengikutinya kerana kepentingan diri. Mereka fikir pengundi-pengundi Melayu akan mengikut apa sahaja yang mereka lakukan. Anggapan mereka ternyata meleset.

Sebagai buktinya, lihat sahaja keputusan PRN yang berlangsung pada 12 Ogos 2023.
Daripada 108 kerusi yang ditandingi UMNO, ia hanya memperolehi 19 kerusi (17.5%).
Itu pun kerana sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Hassan di Negeri Sembilan
sebanyak 14 kerusi, sedangkan di Kedah BN yang bertanding 15 kerusi tidak
memenangi satu kerusi pun, di Kelantan ia hanya mendapat satu kerusi, di Pulau
Pinang dua kerusi, di Selangor dua dan di Terengganu kosong. Kemenangan dua
kerusi di Pulau Pulau Pinang itu pun adalah di Bertam, kampung Tun Abdullah Badawi,
setelah menantunya Khairy Jamaluddin turun berkempen untuk calon UMNO,
seorang bekas menteri. Satu kerusi lagi di Sungai Acheh, UMNO hanya menang
dengan 147 undi.

Walaupun Presiden PKR memegang jawatan Perdana Menteri, prestasi PKR juga
meleset. Daripada 58 kerusi yang ditandinginya, PKR hanya menang 26 kerusi, itu
pun dengan sokongan padu penyokong-penyokong DAP, BN dan Amanah. Di
Selangor, kubu terkuatnya, ia hanya memenangi 12 daripada 20 yang ditandinginya,
16 kerusi kurang daripada yang dimenanginya dalam PRU14, iaitu 28. Di Kedah ia
hanya memenangi dua daripada 10 kerusi yang ditandinginya. Di Pulau Pinang, enam
kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 dirampas oleh PN. Di Kelantan dan
Terengganu, PKR ditolak sama sekali.

Amanah juga menerima nasib yang sama dengan UMNO dan PKR. Ia hanya
memenangi lapan kerusi daripada 31 yang ditandinginya, termasuk lima daripada
sembilan yang ditandinginya di Selangor. Saya berani mengatakan ia menang itu pun
atas undi penyokong DAP, BN dan PKR. Mengharapkan undi penyokongnya sendiri,
ia tidak boleh menang walau satu kerusi pun. Buktinya, lihatlah apa yang berlaku di
Kedah, Kelantan dan Terengganu.

DAP mempertahankan kedudukannya dengan cemerlang. Ia memenangi 46 kerusi
daripada 47 kerusi yang dipertandingkannya (98%).

PN jelas dapat menambah penguasaannya. Ia memenangi 146 kerusi daripada
jumlah keseluruhan sebanyak 245 kerusi berbanding dengan 80 oleh PH dan 19 oleh
BN. Di Selangor, kubu kuat PH pun, PN dapat menambah lima kerusi yang
dimenanginya dalam PRU14 kepada 22, yang lebihnya itu datangnya daripada PKR,
UMNO dan Amanah. Di Kedah, PN berjaya merampas lima daripada tujuh kerusi PKR,
empat daripada Amanah, tiga daripada BN dan satu daripada DAP. Di Pulau Pinang,
satu lagi kubu kuat PH, PN berjaya menambah satu kerusi (PAS) yang dimenanginya
dalam PRU14 kepada 11, kesemuanya dirampas daripada PKR, UMNO dan Amanah.
Tetapi, yang betul-betul menang adalah PAS. Keseluruhannya PAS memenangi 117
kerusi berbanding dengan rakan kongsinya, Bersatu 28 dan Gerakan 1. Apa yang lebih
menarik dengan pencapaian PAS ialah lonjakan yang dibuatnya sekali gus
membenam UMNO, PKR dan Amanah.

Saya fikir pengundi Melayu bertindak seperti itu atas beberapa sebab. Pertama,
mereka masih tidak lupa dan tidak memaafkan apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH
yang mereka berpendapat menggugat hak-hak keistimewaan orang Melayu dan
kedudukan agama Islam dan tindakan dan kenyataan penyokong-penyokong PH,
terutama sekali dari DAP. Mereka tahu bahawa DAP berdiam diri bukanlah bererti ia
telah berubah: ia hanya menukar taktiknya kerana cara konfrontasi dahulu menaikkan
kemarahan orang Melayu.

Kedua, orang Melayu, terutama sekali ahli dan penyokong PAS dan Bersatu
merasakan bahawa hak mereka untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas
PRU15 telah dirampas daripada mereka dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan
yang digemari oleh pihak Istana.

Ketiga, keputusan PRN ini menunjukkan orang Melayu sedar bahawa Kerajaan
Perpaduan adalah Kerajaan PH yang diberi nama baharu.

Keempat, orang Melayu, termasuk bekas pengundi UMNO tidak dapat memaafkan
Zahid dan ahli-ahli MKT kerana membawa UMNO masuk bekerjasama dengan
Anwar dan DAP sedangkan resolusi Perhimpunan Agung terang-terang
mengatakan “No Anwar. No DAP.”

Kelima, orang Melayu tidak percayakan Anwar untuk menjadi pemimpin mereka.

Keenam, di antara parti-parti Melayu yang ada sekarang, biar apa pun kelemahannya,
pemimpin-pemimpin PAS nampak lebih bersih, lebih berintegriti dan lebih boleh
dipercayai.

Ketujuh, penyokong-penyokong PAS terdiri daripada semua lapisan masyarakat,
daripada pelajar-pelajar universiti dan graduan-graduan muda, lapisan pertengahan
umur, apatah lagi warga emas.

Penambahan bilangan kerusi yang diperolehi PN adalah daripada yang sebelumnya
dimenangi UMNO, PKR dan Amanah. Ertinya, pengundi-pengundi yang dahulunya
mengundi parti-parti itu telah berpindah kepada PN, khususnya PAS. Pengundi-pengundi baru Melayu juga nampaknya lebih suka memilih PAS daripada parti-parti
Melayu lainnya. Saya percaya, jika PRN15 diadakan pada 12 Ogos 2023, PN akan
memperolehi majoriti yang jelas dan Kerajaan Perpaduan tidak akan tertubuh.
Keputusan ini adalah penolakan Kerajaan Perpaduan dan parti-parti Melayu yang
bekerjasama dengan DAP dan PH. Semua pihak perlu mengambil perhatian.

Mengenai kekalahan teruk UMNO, faktor utamanya ialah orang Melayu tidak dapat
menerima UMNO bekerjasama dengan DAP dan PH. Itulah hakikatnya. Mengenai
PKR, orang Melayu tidak percaya Anwar dan PKR boleh diharap untuk
mempertahankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Amanah hanya parti
parasit yang tidak relevan dari awal lagi yang digunakan oleh DAP untuk
memecahbelahkan PAS.

Adakah Zahid dan ahli-ahli MKT UMNO akan menerima hakikat itu?

Saya percaya Zahid tidak akan menerimanya. Beliau akan bergantung kepada
jawatan Presiden UMNO yang sudah dilanjutkan tempohnya itu kerana beliau percaya
hanya dengan cara itu beliau dapat berkuasa dan melepaskan dirinya daripada
pertuduhannya di mahkamah. Untuk itu beliau telah membawa UMNO bekerjasama
dengan PH (Anwar dan DAP). Anwar menanggung bebannya kerana perlukan
bilangan kerusi Parlimen BN untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri.

Sekarang, pengaruh UMNO lebih lemah, Zahid terpaksa bergantung kepada
Anwar dengan harapan untuk mendapat perlindungan dan disebabkan kedudukan
PKR sendiri sudah lebih lemah, Anwar terpaksa bergantung kepada Zahid
untuk dapat terus menjadi Perdana Menteri. Mereka memerlukan satu sama lain.

Bagaimana dengan ahli-ahli MKT UMNO? Terdapat seorang yang telah bersuara, itu
pun bukanlah seorang ahli politik profesional. Beliau adalah seorang profesional yang
dilantik menjadi Ahli Dewan Negara untuk membolehnya dilantik menjadi Menteri.
Bagi yang lainnya, sekian lama mereka mengikuti kehendak Zahid kerana
kepentingan diri. Saya tidak nampak ada di antara mereka yang akan bangun
menuntut beliau meletak jawatan.

Perlu diingati Zahid boleh berkata, keputusan MKT bukan keputusannya seoang.
Semua ahli bertanggungjawab. Mengapa hanya dia seorang yang hendak
dipersalahkan?

Mungkinkah akan ada gerakan dari bawah? Sehari selepas PRN itu diadakan,
terdapat laporan beberapa orang ketua pemuda yang mengatakan UMNO perlu
berani melakukan perubahan sekiranya ia tidak mahu dilupakan oleh masyarakat.
Ketua Pemuda dan Wanita UMNO membuat kenyataan mereka akan mengadakan
kaji siasat mengenai kekalahan teruk UMNO itu.

Mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku sebelum ini, saya tidak fikir
perubahan besar akan berlaku kepada UMNO. Selepas Zahid dihadapkan ke
mahkamah dahulu, Pemuda UMNO meluluskan satu resolusi meminta beliau
melepaskan semua jawatan dalam parti sehingga beliau dilepas dan dibebaskan oleh
mahkamah. Apabila UMNO pulih di bawah pimpinan Mohamad, Zahid
kembali memimpin UMNO. Kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir, Pemuda
pun senyap dan nampaknya bertukar menjadi penyokong Zahid yang setia. Saya
tidak hairan, jika Perhimpunan Agung tergempar dapat diadakan sekalipun (saya fikir
tidak), setelah mendengar ucapan Zahid berapi-api, perwakilan akan memberi
tepukan bergemuruh menyokongnya. Pemuda, Wanita dan Puteri pun akan turut
memberi sokongan tak berbelah bagi. “Pi mai pi mai tang tu” (kata orang Pulau
Pinang). “Biarkan. Biarkan (Si-Lunchai).

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD
Bekas Ketua Hakim Negara

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor