HomeBeritaPolitik'PRN referendum, penolakan rakyat terhadap PH-BN' - Muhyiddin

‘PRN referendum, penolakan rakyat terhadap PH-BN’ – Muhyiddin

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta-merta.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat gesaan itu selepas PN berjaya memperoleh kemenangan 60 peratus atau 146 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, kejayaan PN mempertahan pentadbiran negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada parti tersebut.

Di Selangor, beliau berkata, PN telah melakukan perubahan dengan memenangi 22 kerusi DUN berbanding lima kerusi yang disandang parti itu sebelum ini.

“Kesemua kerusi yang dimenangi adalah kerusi majoriti Melayu, sekali gus membuktikan PN mendapat sokongan besar pengundi-pengundi Melayu di Selangor.

“Kejayaan peroleh 22 kerusi ini juga bermakna PN menafikan dua pertiga PH-BN di Selangor yang sebelum ini dianggap kubu kuat mereka.

“Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, maka PN akan berjaya rampas Selangor,” katanya dalam sidang media di Hotel Concorde di sini pada Sabtu.

Di Pulau Pinang, Muhyiddin berkata, gelombang pengundi Melayu di negeri itu telah membawa kejayaan besar PN apabila memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.

Beliau berkata, ini merupakan satu tamparan hebat kepada Anwar apabila kesemua kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh calon-calon dipertaruhkan PN.

“Kejayaan PN raih sokongan Melayu menunjukkan PN adalah wadah utama politik bangsa tersebut pada masa ini.

“PN juga menang kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majoriti Melayu seperti Derga yang kedua-duanya di Kedah menunjukkan bahawa, PN turut mendapat sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu,” ujarnya.

Jelas Muhyiddin, UMNO sudah tidak lagi relevan apabila memenangi hanya 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan, seterusnya menjadikan parti tersebut kalah teruk dengan kadar 82 peratus.

Beliau berkata, ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan orang bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu, diterajui Anwar dan Ahmad Zahid.

“Maka benarlah PRN merupakan referendum dan penolakan rakyat terhadap gabungan PH-BN,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor